PUTRAJAYA: Berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) tidak menjadi penghalang kepada Pengarah Artistik dan Konsep sambutan Hari Kebangsaan 2023 Rosnan Nordin untuk melaksanakan amanah yang diberi sebaik mungkin supaya hari bersejarah itu berlangsung sempurna dengan persembahan menakjubkan.

Berbekalkan kepakaran dan kemahiran selama 20 tahun melaksanakan tugasan berkenaan, Rosnan yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) berkata beliau bangga kerana menjadi OKU pertama mengarah konsep sambutan Hari Kebangsaan secara keseluruhan.

Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 58 tahun itu berkongsi kepada Bernama baru-baru ini bahawa beliau kehilangan kaki kiri selepas terpaksa dipotong pada Jun lepas akibat jangkitan kuman.

"Tahun-tahun sebelum ini (sejak 2008) saya masih sempurna, tapi bulan Jun lepas kaki kiri terpaksa dipotong. Jadi tahun ini, saya berstatus sebagai Pengarah Artistik dan Konsep yang OKU.

"Saya berpegang kepada prinsip 'passion to work for country, not for recognition'. Kalau berharap pada pengiktirafan sudah tentu dengan keadaan sekarang, saya tak boleh tunaikan amanah ini," katanya yang kerap mencuri perhatian apabila muncul di atas pentas utama dengan berkerusi roda menyaksikan kelancaran raptai Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini.

Berkongsi proses perancangan pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan, Rosnan berkata dengan dibantu lebih 60 tenaga kerja, pasukan berkenaan mula memikirkan konsep tahun berikutnya selepas sahaja acara pada tahun semasa selesai.

"Konsep tahun ini sudah difikirkan sejak tahun lepas apabila selesai Hari Kebangsaan 2022. Seperti tahun-tahun sebelum ini, Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia akan beri mandat kepada saya untuk fikirkan apa konsep sambutan bagi Hari Kebangsaan 2023 pula," katanya.

Beliau berkata setiap tahun, tema dipilih akan menjadi "roh" bagi menghidupkan sambutan Hari Kebangsaan yang memerlukan ia diterjemah daripada segenap aspek sama ada persembahan tarian dan nyanyian, aksi akrobatik oleh pasukan keselamatan sehingga perarakan dan perbarisan.

Bagi menepati tema sambutan tahun ini iaitu "Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan", Rosnan berkata beliau antara lain membawa Kontinjen Perpaduan Malaysia MADANI dalam acara perbarisan dan perarakan yang merupakan gabungan 1,000 peserta pelbagai etnik dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, tema turut diterjemahkan melalui Kontinjen Ekonomi disertai pemain industri seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat telekomunikasi dan perbankan yang membawa maksud keamanan serta keharmonian negara berjaya membuahkan hasil pelaburan.

Rosnan berkata pelbagai lagi persembahan "wow" bakal disajikan kepada tetamu kehormat dan orang ramai pada 31 Ogos ini antaranya aksi terjunan tepat 69 Komando Polis Diraja Malaysia.

Bagi mengetahui pelbagai persembahan lain pada sambutan Hari Kebangsaan 2023, beliau mengajak orang ramai datang beramai-ramai ke Dataran Putrajaya untuk menyaksikan sendiri semua persembahan yang telah disusun.

"Cetusan idea konsep sambutan ini bukan mudah sebab perlu ada akal fikir yang luas, jadi hadir ramai-ramai beri sokongan," katanya sambil menambah secara keseluruhan, lebih 19,000 peserta terlibat dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2023.

Sambutan di Putrajaya kali ini adalah yang kelima selepas kali pertama pada 2003, disusuli 2005, 2018 dan 2019.

-- BERNAMA