KUALA LUMPUR: Status representasi pegawai polis kontroversi, Inspektor Sheila untuk membatalkan pertuduhan menyebabkan kegusaran orang awam dengan membunyikan hon kereta dalam tempoh lama ditetapkan pada 20 Mac depan di Mahkamah Majistret di sini.

Peguam, M Manoharan yang mewakili inspektor itu atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, mengesahkan perkara itu, ketika ditemui di luar mahkamah pada Rabu, selepas sebutan kes berkenaan di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan.

Menurutnya, representasi difailkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa, dengan alasan tuduhan terhadap anak guamnya itu remeh.

Selain alasan berkenaan, beliau berkata, representasi setebal 20 muka surat itu menyatakan bahawa anak guamnya merupakan mangsa dalam kes yang tular berkenaan.

“Ketika sebutan kes, mahkamah menetapkan prosiding seterusnya pada Mac depan untuk mengetahui keputusan representasi.

“Pihak pendakwaan memberitahu, mereka memerlukan masa tiga minggu untuk mengkaji dokumen yang difailkan kali pertama,” katanya.

Pada 8 November tahun lalu, wanita itu didakwa melakukan mudarat awam dengan memarahi, membunyikan hon kereta dengan panjang atau lama serta menjerit di tempat kejadian sehingga mendatangkan kegusaran am terhadap seorang wanita berusia 28 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta, sebuah pusat beli-belah di Brickfields di sini, pada jam 5.26 petang, 16 Jun tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 290 kanun sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM400, jika sabit kesalahan.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian