TANJUNG MALIM: Stesen Pengecas Pantas Kenderaan Elektrik (EV) Modular Mudah-Alih dengan sistem simpanan kuasa bateri yang pertama di Malaysia dilancar di Lebuhraya PLUS di Hentian Sebelah Behrang (arah utara) di sini, hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata infrastruktur pengecasan elektrik pantas yang inovatif itu berkonsepkan modular dan mudah alih.

"Dengan kemudahan baharu ini, pengguna EV dapat mengecas kenderaan mereka di lokasi yang strategik ketika melalui lebuh raya," katanya berucap melancarkan kemudahan tersebut di sini hari ini.

Nanta berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah meluluskan projek rintis pengecas pantas modular seumpama itu di empat tapak di Lebuhraya PLUS melibatkan 16 poin infrastruktur pengecas pantas kenderaan elektrik (DCFC) untuk disiapkan pada 2023.

Katanya, empat tapak yang akan beroperasi pada 2023 adalah di Hentian Sebelah Behrang (arah utara dan selatan) di Perak serta Hentian Sebelah Senawang (arah utara dan selatan) di Negeri Sembilan.

"Setiap tapak akan mempunyai kapasiti pengecasan DC (arus terus) 300kW yang menyediakan empat poin pengecasan. Ia sebagai tambahan kepada 22 pengecas DC EVCS (stesen pengecas) sedia ada yang telah beroperasi di sepanjang lebuh raya kendalian PLUS melibatkan 30 poin pengecas," katanya.

Nanta berkata bagi 2024 beliau dimaklumkan tiga tapak tambahan pengecas pantas modular akan dibangunkan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ajil (arah utara dan selatan) dan Perasing, yang terletak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Terengganu.

Dalam pada itu Nanta berkata KKR dan LLM bersedia bekerjasama dengan pemain industri terutamanya Charge Point Operator tempatan dan antarabangsa bagi menggalakkan inovasi teknologi, penyelidikan dan penerokaan dalam bidang berkaitan infrastruktur serta ekosistem EV.

Beliau berkata selain memupuk inovasi, ia juga dapat memperkembangkan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan daya saing dalam sektor tenaga bersih.

"Saya melihat kerjasama antara PLUS (PLUS Malaysia Berhad) dan Gentari (Gentari Sdn Bhd) pada hari ini mencerminkan satu gandingan strategik yang menggabungkan kekuatan unik daripada setiap organisasi.

"Saya yakin bahawa kerjasama strategik ini akan terus memainkan peranan penting dalam penyediaan penyelesaian pengangkutan rendah karbon sejajar dengan objektif yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) dan Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB)," katanya.

Katanya kejayaan itu merupakan usaha kolaboratif semua pihak terutamanya pihak KKR, LLM, konsesi dan pemain industri dalam membangunkan ekosistem EV yang berdaya saing di Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility Sdn Bhd Shah Razalli berkata Gentari menyasarkan memasang 400 pengecas awam menjelang akhir 2023, yang pada masa kini berjumlah lebih daripada 170.

Beliau berkata sebahagian besar daripada separuh pertama tahun ini dihabiskan hanya untuk mendapatkan kelulusan mendirikan atau membariskan pengecas mereka, walaupun pembinaan pengecas awam hanya mengambil kira-kira dua ke tiga minggu bagi pengecas jenis arus ulir (AC charger) dan empat minggu untuk pengecas jenis arus terus (DC charger).

Katanya permohonan tenaga kuasa dan proses-proses lain berkait dengan hal-hal penguatkuasaan melanjutkan lagi proses keseluruhan kepada antara tiga hingga lapan bulan.

"Dengan ini, Gentari bersama EVC (EV Connection Sdn Bhd) telah mengambil langkah proaktif untuk memperkenalkan teknologi baharu ini buat pertama kali di Malaysia dan di Asia Tenggara, dengan menggabungkan sistem simpanan kuasa bateri dan tenaga solar," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

-- BERNAMA