JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, stigma sosial terhadap kesihatan mental menyebabkan kebanyakan orang yang mengalaminya menderita sendirian di dalam diam dan malu untuk mendapatkan bantuan daripada profesional terlatih.
Memetik laporan oleh New Straits Times (NST) yang mengetengahkan tekanan dihadapi oleh orang dewasa dan kanak-kanak, Raja Zarith Sofiah melahirkan kebimbangan terhadap trend isu kesihatan mental yang semakin meningkat di negara ini.
Seri Paduka Baginda bertitah, kebanyakan orang dewasa terpaksa berdepan cabaran kewangan tidak stabil, menanggung beban hutang dan menangani hubungan keluarga yang kompleks, yang seterusnya membawa kepada tekanan psikologi yang teruk.
"Kajian yang dijalankan oleh NST itu juga menunjukkan bahawa 16.5 peratus kanak-kanak berumur 5 hingga 15 tahun bergelut dengan masalah kesihatan mental, manakala seorang daripada empat remaja (berumur 13 hingga 17 tahun) mengalami kemurungan," titah Seri Paduka Baginda semasa Majlis Graduasi ke-10 Universiti of Reading Malaysia, di sini, hari ini.
Raja Zarith Sofiah yang menerima Ijazah Kehormat Kedokteran Psikologi daripada universiti tersebut bertitah usaha bagi menangani isu ini perlu diberi perhatian khusus sambil menyatakan bahawa disiplin dan pengetahuan psikologi semakin relevan pada masa kini.
Seri Paduka Baginda menekankan tingkah laku manusia, motivasi, daya tahan dan hubungan penting untuk membina komuniti lebih teguh dan masyarakat yang lebih harmoni.
Raja Zarith Sofiah bertitah, masyarakat sedang hidup dalam zaman yang sangat pelik apabila ucapan kebencian dan keengganan untuk memahami individu dan masyarakat yang berbeza menjadi tajuk perbincangan utama media dunia.
"Ironi yang menyedihkan ialah ketika maklumat dan pengetahuan mudah diakses melalui laman web dalam talian, media sosial dan podcast, atau di mana sahaja kita berada, kita menjadi kurang toleran, tidak prihatin dan lebih suka mencari perbezaan daripada persamaan yang kita semua kongsi bersama tanpa mengira latar belakang etnik, kepercayaan dan peranan kita dalam masyarakat," titah Seri Paduka Baginda.
Dalam mendepani cabaran ini, Raja Zarith Sofiah menekankan bahawa universiti memainkan peranan yang semakin penting dalam membimbing dan menyediakan pendidikan kepada generasi akan datang.
Justeru Seri Paduka Baginda bertitah, institusi pengajian tinggi bukan sahaja perlu menyediakan pengetahuan dan kemahiran teknikal kepada graduan tetapi juga membimbing mereka untuk memupuk keperibadian, pertimbangan, dan nilai-nilai moral.
Memetik kata-kata Almarhum Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Seri Paduka Baginda mengingatkan para graduan bahawa tujuan pendidikan bukan sekadar untuk melahirkan pekerja mahir atau individu yang berilmu, tetapi juga insan yang berakhlak mulia.
"Bimbingan seorang guru, mentor, serta akses kepada buku dan ilmu pengetahuan boleh membuka ruang bagi mencapai perkara yang dahulunya kelihatan sukar dicapai.
"Transformasi sedemikian bukan diukur semata-mata berdasarkan keputusan akademik, tetapi tercermin menerusi keyakinan diri, daya tahan, rasa ingin tahu dan kesediaan seseorang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat," titah Raja Zarith Sofiah.
Memetik kata-kata tokoh ulama Imam al-Ghazali bahawa ilmu tanpa amal adalah tidak bernilai, Seri Paduka Baginda menyeru para graduan untuk mengamalkan apa yang telah mereka pelajari demi kebaikan seluruh manusia sejagat.
Sementara itu, Seri Paduka Baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada universiti tersebut atas pengiktirafan Doktor Kehormat Psikologi itu dan menerimanya dengan penuh rasa hormat terhadap institusi yang terus memberikan sumbangan penting kepada pendidikan, penyelidikan dan pertumbuhan generasi akan datang.
Raja Zarith Sofiah turut mengucapkan tahniah kepada semua graduan kerana berjaya menamatkan pengajian kedoktoran dan ijazah mereka, sambil mengingatkan bahawa pencapaian mereka bukan sahaja ditentukan oleh kelayakan semata-mata, tetapi juga oleh impak positif yang diberikan kepada orang di sekeliling.
-- BERNAMA