Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman berjaya membongkar kegiatan makmal memproses dadah disyaki syabu selepas membuat serbuan di tiga buah rumah bangsal dalam kawasan ladang kelapa sawit, di sini pada Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, dalam serbuan bermula jam 2 petang hingga 7.30 malam itu, pihaknya turut berjaya menahan empat suspek serta merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 74.55kg dan dadah jenis Ephedrine (Kimia utama untuk hasilkan syabu) seberat 29.35kg.

“Empat suspek berusia 28 hingga 44 tahun itu ditahan di dalam rumah-rumah bangsal berkenaan dan tiga daripada mereka merupakan adik beradik.

“Sebuah rumah bangsal itu telah dijadikan tempat memproses, sebuah lagi dijadikan tempat menyimpan bahan-bahan kimia... kesemua rumah bangsal ini berdekatan dengan kolam ikan.

“Kita percaya mereka baru sahaja mulakan operasi ini sejak dua bulan lalu dan baru sahaja belajar cara memproses dadah ini, kita sedang mencari seorang lagi yang kita percaya mengajar mereka-mereka ini memproses dadah,” katanya dalam satu sidang media khas di Ipoh pada Rabu.

Beliau menambah, dalam serbuan bersama JSJN Perak itu pihaknya juga turut merampas pelbagai peralatan memproses dadah, bahan-bahan kimia, dua buah kereta serta seutas jam tangan mewah milik suspek.

“Kesemua rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM5.2 juta dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Ujian saringan awal mendapati kesemua suspek negatif dadah, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah rompak dan mencuri,” jelas beliau.

Kesemua tangkapan direman sehingga 20 Mac ini untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita sedang melakukan siasatan terperinci mengenai kes ini, kita nak tahu dengan siapa mereka belajar, dari mana mereka dapat bahan-bahan kimia ini dan tuan punya ladang kelapa sawit juga akan kita panggil membantu siasatan," tambah beliau.