KUALA LUMPUR: Seramai 1,184 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, kata Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Mohd Ekhwan Toriman.

Beliau berkata ia sekali gus menyaksikan calon yang memperoleh keputusan PNGK 4.00 meningkat berbanding tahun 2021 iaitu seramai 874 orang.

"Daripada 1,184 calon ini, seramai 1,009 calon atau 85.22 peratus daripadanya adalah daripada kategori B40," katanya pada sidang media pengumuman Keputusan STPM 2022 di sini hari ini.

Bagi PNGK Nasional STPM 2022, Mohd Ekhwan berkata ia juga telah meningkat kepada 2.82 pada tahun lepas berbanding 2.79 pada tahun sebelumnya.

"PNGK Nasional ini juga merupakan PNGK Nasional tertinggi sejak dilaksanakan peperiksaan STPM," katanya.

Mohd Ekhwan berkata dari segi pencapaian PNGK secara keseluruhannya, calon STPM 2022 yang memperoleh PNGK 3.75 dan ke atas ialah 9.59 peratus manakala PNGK 3.00 dan ke atas ialah 42.96 peratus.

"Bagi PNGK 2.75 dan ke atas ialah 56.97 peratus dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 89.75 peratus adalah meningkat berbanding tahun 2021," katanya.

Mengenai jumlah calon mendaftar STPM 2022, beliau berkata seramai 43,687 calon telah mendaftar namun 41,701 calon yang hadir untuk menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2022.

"Daripada 41,701 calon yang hadir, sebanyak 99.98 peratus atau 41,694 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2022, manakala hanya 0.02 peratus atau tujuh calon sahaja tidak layak mendapat sijil ini," katanya.

Ditanya mengenai 1,986 calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu, beliau berkata ia disebabkan beberapa faktor seperti calon-calon telah mendapat pekerjaan, menyambung pelajaran ke peringkat diploma atau program lain, sakit atau meninggal dunia.

Sementara itu, beliau berkata MPM telah memilih 17 pelajar terbaik mengikut kategori untuk diberikan anugerah berbentuk wang tunai bernilai RM1,000, plak serta sijil dan ia dijangka disampaikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam satu majlis, hari ini.

Beliau berkata kategori berkenaan ialah 11 pelajar STPM terbaik keseluruhan, seorang pelajar terbaik kategori B40 dan seorang pelajar terbaik kategori Orang Asli.

"Empat pelajar terbaik bagi setiap kategori calon Berkeperluan Pendidikan Khas iaitu buta, rabun, autistik dan spastik," kata Mohd Ekhwan yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Calon STPM 2022 boleh menyemak keputusan menerusi pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM/No. Kad Pengenalan/Angka Giliran dan hantar ke 15888 bermula 11 pagi ini hingga 12 tengah hari, Ahad ini.

-- BERNAMA