'Suami ditembak 18 das depan mata saya' - Isteri dedah detik cemas di Sungai Golok

Wan Fatihah (dua dari kanan) tidak dapat menahan sebak semasa pengebumian suaminya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Apam, Apam Putra, Pasir Mas pada Ahad.
PASIR MAS: "Suami ditembak 18 das depan mata saya."
Ringkasan AI
- Wan Fatihah Mat Hussin, isteri kepada Allahyarham Mohd Fuad Fahmie, menceritakan detik cemas suaminya ditembak 18 das di hadapannya oleh dua suspek bersenjata ketika mangsa sedang memasang CCTV di rumah mereka di Sungai Golok, Thailand.
- Wan Fatihah yang sedang hamil anak sulung hasil perkahwinan dengan arwah, memaklumkan bahawa suspek menembak suaminya dari arah belakang dan terus melepaskan tembakan walaupun mangsa telah rebah, sebelum melarikan diri.
- Jenazah Mohd Fuad Fahmie selamat dikebumikan di Kampung Apam, Apam Putra, dengan kehadiran ahli keluarga termasuk ibunya, Zaiton Abdul Rahman. Dua suspek dipercayai adik-beradik dan masih belum disahkan sama ada telah ditahan pihak berkuasa Thailand.
“Dua suspek datang dari arah belakang dan menembak suami menggunakan masing-masing dua pistol.
“Tembakan demi tembakan dilepaskan ke arah suami. Saya berlari ke arahnya dan sempat memeluk selepas dia rebah.
“Selepas itu, kedua-dua lelaki berkenaan masih melepaskan tembakan sehingga habis peluru sebelum mereka berjalan pergi.
“Saya menjerit meminta tolong orang sekeliling,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra di sini pada Ahad.
Wan Fatihah memberitahu, suaminya ditembak pada badan, leher dan beberapa bahagian lain.
Ujarnya, jumlah 18 das tembakan itu disahkan selepas selesai urusan bedah siasat mayat dijalankan.
Dia berkata, Mohd Fuad Fahmie menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sungai Golok pada jam 9 malam.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 55, berkata, dua suspek dalam kejadian tersebut dipercayai merupakan abang dan adik.
“Sehingga kini, kami belum mengetahui perkembangan terkini sama ada kedua-duanya sudah berjaya ditangkap polis atau belum,” katanya.
Wan Fatihah dimaklumkan akan menjalani tempoh idah di rumah ibu mentua serta melahirkan bayinya di sini.
Sinar Harian melaporkan, jenazah Mohd Fuad Fahmie yang maut ditembak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra, di sini, pada jam 2.30 petang Ahad.
Turut hadir, ibunya, Zaiton Abdul Rahman, 64, serta ahli keluarga dan sanak saudara terdekat.
Sebelum itu, arwah yang parah ditembak di sebuah rumah di Sungai Golok, Thailand dilaporkan meninggal dunia pada malam Sabtu.
Mohd Fuad Fahmie yang berasal dari Kampung Kepas Apam, di sini, meninggal dunia pada jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Menurut ibunya, Zaiton, beliau dimaklumkan tentang kematian anaknya oleh menantu, Wan Fatihah, kira-kira jam 9 malam. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


