KULIM: Pasangan suami isteri antara lapan individu yang ditahan polis kerana terlibat dalam sindiket pengedaran ganja di daerah Kulim dan Pulau Pinang dalam operasi pada 6 dan 7 Januari lalu.

Pasangan terbabit, lelaki berusia 46 tahun dan wanita, 29 tahun, bersama empat lelaki lain berusia 47 sehingga 49 tahun ditahan berasingan di Kulim dan Pulau Pinang.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, enam daripada lapan individu terbabit ditahan susulan penahanan seorang lelaki berusia 47 tahun pada 6 Januari lalu oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulim ketika keluar dari bahagian pemandu sebuah bas kilang di kawasan letak kenderaan di Klang Lama di sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai bahan disyaki dadah jenis ganja seberat 0.35 gram di dalam beg silang yang dipakainya.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bas tersebut menemui dua guni warna putih yang satu mengandungi 19 ketulan mampat seberat 19.540 gram manakala satu lagi mengandungi 22 ketulan mampat seberat 23.390 gram dipercaya dadah jenis ganja.

“Hasil soal siasat suspek pertama itu, seorang lagi lelaki berusia 49 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kulim hari ini.

Wan Hassan berkata, lelaki terbabit ditahan di sebuah bank di Air Hitam, Pulau Pinang dan merampas dua bungkusan plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ganja anggaran berat 1.913 gram.

Susulan itu, gerakan memburu sindiket diteruskan satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Sungai Lokan, Seberang Perai Utara dan menahan sepasang suami isteri.

“Hasil serbuan itu polis menemukan tujuh peket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis ganja anggaran seberat 74.45 gram dan pemeriksaan lanjut menemui empat ketulan mampat ganja anggaran berat 2.799.66 gram.

“Dua lagi ditahan tiga jam kemudian kira-kira pukul 3.30 petang dan menahan dua lelaki lagi kira-kira pukul 8 malam di Jelutong, Pulau Pinang serta merampas 10 ketulan mampat ganja anggaran berat 9.828 gram,” jelas beliau.

Katanya, kesemua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau sementara wanita terbabit tiada rekod jenayah lampau dan mereka positif dadah manakala jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 58.98 kilogram yang dianggarkan bernilai RM147,450 yang mampu untuk membekalkan kepada 200,000 penagih.

Beliau berkata, polis turut menyita tiga buah kereta dan wang tunai RM645 dengan nilai rampasan RM38,845.

Kesemua suspek juga direman sehingga 13 Januari serta permohonan akan dibuat untuk sambung reman manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.