ALOR SETAR: Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Alor Setar hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu membabitkan program Penjana Kerjaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah hampir RM30,000 dua tahun lalu.

Tertuduh Anuar Che Lat, 53, dan isterinya Rohana Othman, 55, yang juga pemilik syarikat bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama dengan niat telah mengemukakan tiga dokumen borang pengesahan pekerja, Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Syarikat Widad Tours & Travel kepada seorang wanita yang merupakan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Kedah.

Tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen-dokumen berkenaan mengandungi pernyataan palsu mengenai tiga individu sedangkan senarai mereka yang dinamakan itu bukan pekerja syarikat berkenaan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mac hingga Ogos 2021 di Wisma Perkeso, Jalan Teluk Wan Jah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Salizawaty Abd Samad mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala tertuduh diwakili peguam Rahamathullah Baharudeen.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu jika butir matan palsu itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu Salizawaty memohon supaya mahkamah menetapkan kadar jaminan sebanyak RM45,000 setiap tertuduh bagi kesemua pertuduhan dihadapi pasangan ini.

Rahamathullah bagaimanapun merayu jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap
seorang untuk semua pertuduhan.

Hakim kemudiannya menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM42,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Hakim menetapkan 27 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.