AMPANG: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh pelayan restoran menggunakan bom buatan sendiri di Pandan Indah, bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Khor Swee Boon, 33 tahun, dan isterinya, Ng Hui Yee, 30 tahun, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu membunuh seorang lelaki, Cho Lim Fong, 29 tahun, di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah pada jam 8.55 malam, 29 Dis lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 35 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Ketika prosiding, peguam bela pasangan terbabit, RSN Rayer, memohon budi bicara mahkamah membenarkan Hui Yee diberi jaminan mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah. 

BACA: Suspek utama kes letupan di Pandan Indah diberkas



Tukang Masak Maut | Pasangan suami isteri didakwa esok

Rayer memberikan alasan tertuduh adalah seorang wanita dan perlu menjaga dua anak berusia lima serta tujuh tahun yang kini di bawah jagaan ibu bapa Hui Yee.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin membantah permohonan jaminan mengikut seksyen itu.

Majistret kemudian menolak permohonan jaminan itu dan menetapkan sebutan kes seterusnya pada 23 Mac ini untuk serahan dokumen.

Dalam kejadian jam 8.55 malam 29 Dis lalu, seorang pelayan restoran maut apabila berlaku letupan ketika memegang bungkusan yang ditinggalkan di bonet keretanya.

Jenayah | Masalah peribadi jadi punca kes letupan di Pandan Indah

Mangsa parah pada anggota badan dan tangan sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam.

Siasatan polis mendapati terdapat beberapa objek dan kesan letupan, antaranya lekuk pada kereta mangsa, di lokasi kejadian.