SHAH ALAM: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan bersubahat dan menyalahguna kedudukan untuk kerja-kerja berkaitan penilaian berjumlah lebih RM570,000 bagi Majlis Perbandaran Klang (MPK) antara 2019 dan 2020.

Hazliza Md Salleh, pengarah penilaian dan pengurusan harta di MPK dan suaminya, Shahril Nizam Mokhtar, masing-masing berhadapan dengan dua pertuduhan.

Hazliza, 48, didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan pelantikan Nilai Harta Consultant Sdn Bhd yang Shahril Nizam mempunyai kepentingan dalam syarikat terbabit bagi melaksakan kerja penilaian berkenaan.

Cadangan tersebut bagi melaksanakan kerja-kerja penilaian kadaran bagi harta-harta khas (Klang Utara) dengan harga kerja RM251,000 dan kerja-kerja penilaian kadaran fasa 4 bagi sebahagian harta di kawasan operasi 2 melibatkan harga kerja RM324,360.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Sementara itu, Shahril Nizam, 48, dituduh bersuhabat dengan Hazliza bagi menggunakan kedudukan isterinya untuk mencadangkan Syarikat Nilai Harta Consultant Sdn Bhd yang mempunyai kepentingan terhadapnya untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Pertuduhan mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23(1) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin yang berlainan serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Selangor, Noryusriza Zulkifli manakala Hazliza diwakili peguam, V.S Selvanteran dan Shahril Nizam diwakili peguam, Nurfatin Amirah Mohd Shaari.

Kes akan disebut semula pada 22 Sept. - BERNAMA