MANJUNG: Polis menahan sepasang suami isteri berusia 28 dan 29 tahun yang dipercayai menjalankan aktiviti mengedar dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Sitiawan, di sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu menemukan dan merampas dadah dipercayai jenis heroin dengan anggaran berat 7,042 gram serta ganja 3,058 gram.

"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM64,570. Tturut dirampas peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati negatif dadah dan mereka juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek dipercayai mula aktif dalam aktiviti mengedar dadah sejak awal tahun 2023.

"Dadah yang dirampas, disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak.

"Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 15,600 orang penagih dadah," katanya.

Yusri berkata, tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988, di mana Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menyita sebuah kenderaan, tujuh utas rantai, enam bentuk cincin, empat pasang anting-anting dan satu subang hidung dianggaran berjumlah RM72,332.

Katanya, anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita adalah RM136,332.

Sementara itu, bagi kes kedua pada hari sama, beliau berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di sebuah rumah di Desa Lawan Kuda, Kampar kerana disyaki mengedar dadah.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan dalam rumah tersebut, pihak polis telah menjumpai dan merampas dadah dipercayai jenis serbuk ekstasi (2,700 gram), kafen (1,679 gram), methampetamine (22 gram), heroin (21 gram).

"Pil erimin 5 (15 biji) pil ekstasi, (11 biji), nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM38,792," katanya lagi.

Jelasnya, turut dirampas peralatan yang digunakan bagi membungkus dan menghisap dadah.

Selain itu, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan rekod kesalahan lampau juga mendapati suspek mempunyai 17 kes dadah dan satu kes jenayah.

"Dadah yang dirampas, disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak. Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 6,700 orang penagih dadah," katanya.

Antara barangan yang dirampas oleh polis daripada seorang lelaki berusia 36 tahun di sebuah rumah di Desa Lawan Kuda, Kampar.

Beliau berkata, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari mulai semalam hingga 10 Jun bagi membantu siasatan.