MALAYSIA
Suami isteri ditahan disyaki dera anak angkat hingga maut

Polis menahan suami isteri bagi membantu siasatan kematian bayi perempuan berusia tujuh bulan, yang juga anak angkat mereka dipercayai akibat didera di Cheras, semalam. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Polis menahan suami isteri bagi membantu siasatan kematian bayi perempuan berusia tujuh bulan, yang juga anak angkat mereka dipercayai akibat didera di Cheras, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Ridzuan Khalid berkata lelaki dan wanita berusia antara 38 hingga 50 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
"Kedua-duanya kini direman seminggu bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata punca kematian bayi terbabit sedang disiasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.Terdahulu, media melaporkan bayi perempuan berusia tujuh bulan meninggal dunia selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kebiruan dan lebam di badan di ruang tamu rumahnya di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki pada 9.34 malam, semalam memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di kediaman mereka tanpa sebab diketahui.
Beliau berkata susulan itu, pihak polis ke rumah pasangan terbabit dan mendapati mangsa berada di ruang tamu dalam keadaan kebiruan dan penuh lebam di badan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami