JERTIH: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori tanah dan tiga motosikal di Jalan Gong Kedak di sini pagi tadi.
Dalam nahas kira-kira 9.45 pagi itu, mangsa Mohd Zamri Mohd Zaki, 41, dan isterinya Norlyana Ismail, 45, dari Batu Rakit, Kuala Nerus yang sedang menyertai sebuah konvoi motosikal, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Rozaime Ab Rahim berkata kemalangan itu turut menyebabkan tiga lagi peserta konvoi terbabit yang menaiki dua buah motosikal mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati lori jenis Nissan Tipper yang dipandu lelaki berusia 57 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Jertih menghala ke arah Kuala Besut untuk ke Bachok, Kelantan.
"Pada masa sama, tiga motosikal jenis Aveta Nova 250 yang ditunggang secara berkumpulan bergerak dari arah bertentangan untuk menuju ke Kuala Perlis, Perlis dari Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rozaime berkata namun setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang wanita berusia 51 tahun dipercayai memasuki laluan lori sebelum berlaku perlanggaran.
Katanya, akibat perlanggaran itu, lori tersebut terbabas sebelum melanggar motosikal yang ditunggang Mohd Zamri bersama Norlyana.
"Dalam kejadian sama, sebuah lagi motosikal yang ditunggang lelaki berusia 51 tahun bersama isterinya yang berusia 50 tahun dipercayai terlanggar muatan tanah yang terjatuh di permukaan jalan," katanya.
Beliau berkata semua mangsa yang cedera termasuk pemandu lori dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut manakala mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital sama bagi proses bedah siasat.
Mohd Rozaime berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA