LANGKAWI: Cadangan dikemukakan Khazanah Research Institute (KRI) agar kerajaan memperkenalkan bantuan manfaat kanak-kanak sejagat berjumlah RM100 dan RM150 sebulan, sebagai sebahagian daripada sistem perlindungan sosial negara disifatkan langkah tepat oleh banyak pihak.

Di Langkawi, seorang ibu tunggal, Adzlizah Amat, 41, menyambut baik cadangan yang dikemukan oleh KRI itu memandangkan ia akan memberi manfaat besar kepada golongan senasib dengannya.

Menurutnya, bantuan sedemikian wajar dipertimbangkan kerajaan kerana realitinya ramai individu sepertinya terpaksa melakukan dua hingga tiga kerja untuk memastikan anak-anak mendapat makanan dan pendidikan.

"Cadangan supaya kerajaan salurkan bantuan sedemikian kepada pihak-pihak yang terkesan atau pihak tertentu setiap bulan, sangat sesuai dan diperlukan.

"Bagi saya kalau kerajaan wujudkan bantuan seperti ini, ia sangat tepat pada waktunya," katanya.

Tambah Adzlizah yang juga seorang peniaga kecil-kecilan yang turut bekerja sambilan sebagai jurukemas hotel, sekiranya bantuan berkenaan diperkenalkan kerajaan, ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam menguruskan wang terbabit.

Dia turut mencadangkan beberapa pihak lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pengurusan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut dilibatkan dalam memastikan sistem pengagihan bantuan dibuat secara adil sekali gus memanfaatkan penerima.

"Boleh juga disalurkan kepada ibu bapa, bukan kita kata semua ibu bapa tidak boleh mainkan peranan tersebut... ada setengah ibu bapa memang khususkan bantuan itu untuk kanak kanak, memang akan simpan untuk kanak kanak tersebut.

"Tapi pada masa sama, ada juga yang susah mungkin memerlukan wang, mereka akan guna wang berkenaan untuk keperluan hidup," katanya.

Adzlizah sebelum ini bertugas sebagai pengurus sebuah hotel di Langkawi, namun memulakan perniagaan kecil-kecilan di  Temonyong, di sini, selepas kontraknya bersama hotel berkenaan tamat.

Susulan pendapatan yang tidak menentu termasuk pernah mencatatkan keuntungan hanya RM5 sehari, dia mengambil keputusan untuk bekerja secara sambilan sebagai jurukemas di sebuah hotel dengan bayaran RM7 sejam bagi menyara tiga anaknya berusia 16, 13 dan 11 tahun.

Pada Khamis, KRI mencadangkan kerajaan memperkenalkan bantuan bulanan manfaat kanak-kanak sejagat berjumlah RM100 dan RM150 sebagai sebahagian daripada sistem perlindungan sosial negara.

KRI dalam laporannya berkata, langkah tersebut merupakan antara pertimbangan dasar dicadangkan kepada kerajaan dalam pelaksanaan perlindungan sosial yang menggunakan model pendekatan kitaran hidup.

Tambah laporan tersebut, sebagai perintis, sebanyak 72.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak di Malaysia atau 6.7 juta kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun dijangka akan menerima manfaat tersebut