KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini telah mencadangkan kepada Dewan Rakyat untuk melanjutkan subseksyen 4(5) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, atau SOSMA 2012, bagi tempoh lima tahun lagi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika membentangkan usul itu berkata, kali terakhir tambahan lima tahun bagi subseksyen tersebut disemak dan diluluskan oleh Parlimen, ialah pada 4 April, 2017, dan ia akan berakhir pada 31 Julai ini.

Jelas Ahli Parlimen Larut itu lagi, sejak lima tahun subseksyen 4(5) SOSMA 2012 ini dilanjutkan pada 2017, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menggunakan sebaiknya peruntukan perundangan yang ada demi melindungi Malaysia dari ancaman-ancaman keselamatan, dan ketenteraman awam.

“Di bawah subseksyen 4(5), orang-orang yang ditangkap dan ditahan mengikut subseksyen 4(4) itu boleh bagi tujuan siasatan, dilanjutkan penahanannya untuk tempoh sehingga 28 hari oleh mana-mana pegawai polis yang berpangkat sekurangkurangnya Penguasa Polis.

“Namun, berdasarkan perbincangan saya dengan pihak PDRM, sebenarnya tempoh 28 hari ini pun tidak mencukupi kerana kes-kes yang disiasat merupakan kes-kes yang sangat rumit dan kompleks, apatah lagi melibatkan kumpulan-kumpulan pengganas dan jenayah terancang yang mempunyai rangkaian yang luas,” katanya lagi.

Hamzah berkata, semasa SOSMA 2012 digubal, tempoh kuat kuasa subseksyen 4(5) itu dihadkan kepada lima (5) tahun sahaja bagi mewujudkan elemen semak dan imbang (check and balance) di dalam penguatkuasaannya.

Walau bagaimanapun, jelasnya lagi, tempoh kuat kuasa peruntukan subsekyen 4(5) boleh disemak dan dilanjutkan sebagaimana kehendak yang dinyatakan dalam subseksyen 4(11) Akta melalui suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen.

Hamzah berkata, peruntukan subseksyen 4(5) Akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai contoh kes boleh dijadikan sandaran dan kewajaran tempoh penahanan 28 hari ini dilanjutkan oleh Majlis Parlimen, antaranya adalah untuk menangani ancaman keganasan terhadap rakyat dan negara ini.

Dalam pada itu, Hamzah mengakui ada tanggapan bahawa SOSMA 2012 ini merupakan akta yang zalim.

“Namun dari sudut keselamatan negara, dalam konteks ini, bagi pihak-pihak yang melakukan kesalahan-kesalahan keselamatan, atau ingin cuba melakukan perbuatan sedemikian, SOSMA 2012 ini tidak zalim kepada mereka malah sewajarnya dikenakan tindakan mengikut SOSMA 2012 demi maslahah umum yang lebih besar.

“SOSMA 2012 memberikan perlindungan dan keadilan kepada rakyat Malaysia kerana dapat digunakan sebagai instrumen menjaga keselamatan dan ketenteraman negara sekaligus selari dengan tuntutan Maqasid Syariah iaitu keperluan Menjaga Agama, Menjaga Nyawa, Menjaga Akal, Menjaga Keturunan dan Menjaga Harta,” katanya lagi.

Hamzah berkata, dalam konteks Menjaga Nyawa rakyat Malaysia itulah, hadirnya kepentingan pelaksanaan SOSMA 2012.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, tanpa subseksyen 4(5) itu dilanjutkan dan jumlah tahanan 28 hari tidak dikekalkan, kualiti siasatan pihak polis dikhuatiri akan terjejas.

“Kerana ia dibuat secara tergesa-gesa iaitu selama 24 jam sahaja untuk menjalankan siasatan, menyediakan Kertas Siasatan, melengkapkan Kertas Siasatan dan seterusnya mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya lagi.

Selain itu, Hamzah berkata, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan SOSMA 2012 atau tidak menyokong akan usul melanjutkan sub-seksyen 4(5) itu merupakan golongan yang ingin membuka ruang kepada penjenayah dan pengganas untuk bermaharajalela dalam negara ini.

“Tetapi, sebagai individu yang sayangkan negara dan keamanan, pasti akan memberikan ruang yang secukupnya kepada pihak PDRM dalam melaksanakan peranan mereka.

Oleh yang demikian, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkahlangkah Khas) 2012 ini adalah mekanisma terbaik dalam menangani ancaman keselamatan. Oleh itu, tempoh kuatkuasa subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 ini perlu dilanjutkan selama 5 tahun lagi mulai 31 Julai 2022,” katanya lagi.