KUALA LUMPUR: Penyasaran subsidi diesel seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, dan bakal disusuli dengan RON95, ibarat beban yang bertimpa-timpa ke atas rakyat, dakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam catatan di laman media sosialnya, bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat secara sinis menyinggung Anwar yang dahulunya berjanji akan menurunkan harga minyak, namun realitinya tidak begitu.

Dakwanya lagi, secara lebih serius, ramai yang mempersoalkan kesan penarikan balik subsidi diesel ke atas kenaikan harga barang dan kos sara hidup, dan ia merupakan satu kebimbangan yang berasas.

“Sebab itu semasa berucap di Parlimen pada bulan Mac yang lalu, saya mencadangkan kepada kerajaan supaya menangguhkan dahulu pelaksanaan rasionalisasi subsidi, khususnya subsidi diesel dan petrol.

“Ini memandangkan rakyat sedang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit yang memberi kesan langsung ke atas beban kos sara hidup rakyat.

“Apatah lagi kerajaan baharu sahaja melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik pada bulan Januari 2024, cukai barang bernilai rendah pada bulan Januari 2024, kenaikan tarif air pada bulan Februari 2024 dan kenaikan cukai SST pada bulan Mac 2024,” kata Pengerusi Perikatan Nasional itu lagi.


Pada 21 Mei lepas, Anwar berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia

Katanya lagi, keputusan itu tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak kerana penduduk di sana kebanyakannya menggunakan diesel untuk urusan seharian.

Bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, Anwar berkata, kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, Anwar selaku Menteri Kewangan juga tidak memberikan penjelasan secara terperinci bagaimana isu beban kos sara hidup rakyat akan ditangani secara tuntas oleh kerajaan akibat penarikan balik subsidi diesel dan RON95.

“Bagaimana pula dengan kesan penarikan balik subsidi diesel dan RON95 ke atas seluruh rantaian bekalan? Apakah langkah-langkah komprehensif yang akan diambil oleh kerajaan untuk menanganinya? Hal ini juga tidak dijelaskan secara terperinci oleh Perdana Menteri.

“Diumumkan juga penarikan balik subsidi ini akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM4 bilion. Tidak ada penjelasan secara terperinci bagaimana hasil penjimatan ini akan dibelanjakan oleh kerajaan.

“Misalnya, berapa banyak nilai bantuan yang akan dinaikkan untuk manfaat rakyat? Siapa yang akan menerimanya? Ini juga tidak dijelaskan secara terperinci oleh Perdana Menteri,” soalnya lagi.

Muhyiddin berkata, Anwar sepatutnya dalam perutusannya memberikan penjelasan secara terperinci mengenai langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menampan kesan penarikan balik subsidi ke atas kenaikan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, rakyat ingin tahu apakah pakej-pakej bantuan yang akan diterima oleh mereka hasil penjimatan subsidi.

“Bayangkan jika penarikan balik subsidi diesel dan selepas ini RON95 tidak ditangani dengan cekap dan berkesan oleh kerajaan, kenaikan kos sara hidup rakyat akan berlaku dengan lebih mendadak.

“Berdasarkan apa yang diucap oleh Perdana Menteri dalam perutusannya, saya tidak yakin beliau tahu apa yang perlu dibuat,” sindirnya lagi.