GUA MUSANG: Kira-kira 474,384 pengguna di Kelantan menikmati lebih RM4.4 juta subsidi yang disediakan kerajaan menerusi Program Jualan Rahmah (PJR) yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam tempoh Januari sehingga setakat ini.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata jumlah itu diperolehi selepas pihaknya menjalankan 679 PJR dengan hasil jualan melebihi RM24 juta di 14 kawasan parlimen yang memfokuskan penempatan rakyat golongan B40.

"Program ini banyak beri manfaat kepada pengguna termasuk penduduk di kawasan luar bandar kerana mereka dapat menikmati diskaun 10 hingga 30 peratus.

"Di Gua Musang sahaja kita ada 26 siri program Jualan Rahmah yang melibatkan subsidi RM270,000," katanya kepada pemberita selepas Program Malam Apresiasi Gerakan Pengguna Daerah Gua Musang di Taman Etnobotani, di sini semalam.

Sementara itu Azman berkata 30 peratus kuota tambahan barangan runcit telah diberikan kepada pemborong sepanjang musim tengkujuh.

"Setakat ini, kami tidak menerima laporan tentang kenaikan harga barang dari pihak pengguna dan bekalan barangan masih lagi terkawal semasa musim tengkujuh.

"Kita juga telah mengadakan operasi bersepadu bersama 14 agensi di seluruh negeri pada 12 hingga 14 Dis dan tiada kes kenaikan harga barang cuma terdapat beberapa tangkapan melibatkan ketirisan subsidi seperti minyak diesel," katanya.

-- BERNAMA