IPOH: Semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia perlu sentiasa disuburkan dan digelorakan bagi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia juga penting untuk mewujudkan negara bangsa yang memerlukan pengukuhan perpaduan dalam kepelbagaian bangsa, kaum, agama dan latar belakang.

Justeru katanya, rakyat negara ini perlu mengambil peluang sambutan bulan kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan rasa cinta kepada negara dengan bersama-sama menyertai pelbagai program dianjurkan.

"Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia berdaulat dan merdeka.

"Sesungguhnya nikmat kemerdekaan perlu disyukuri, di mana kita dapat hidup dengan selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan antara kaum," kata beliau dalam ucapan perasmian pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang merasmikan majlis tersebut bagi pihaknya.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Roslan Ariffin.

Anwar berkata perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan merupakan aset penting kepada negara.

Justeru kata beliau, ia perlu dipupuk dan dipelihara agar kemerdekaan Malaysia terus dipertahankan sambil berkata sejarah membuktikan keagungan sesuatu empayar itu bukan hanya terletak pada kepimpinan bijak semata-mata tetapi semangat jati diri dan permuafakatan rakyat.

Seterusnya beliau menyeru rakyat menzahirkan kebanggaan kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Sementara itu, dalam majlis sama Fadillah turut melepaskan konvoi Kembara Merdeka dan Jalur Gemilang 2023 yang akan menjelajah seluruh pelosok negara sempena menyambut bulan kemerdekaan.

-- BERNAMA