Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa kerajaan meningkatkan usaha memerangi pemerdagangan orang dan penyeludupan pekerja asing.

Ini berikutan laporan Pemerdagangan Orang 2014 (TiP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat di mana Malaysia telah diturunkan kepada Peringkat 3, Senarai Pemerhatian (Tier 3, Watch List) atas kegagalan mematuhi sepenuhnya standard minimum bagi penghapusan pemerdagangan manusia di bawah Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat 2000 (TVPA).

“Perkara yang menjadi kebimbangan SUHAKAM adalah penemuan Jabatan Negara AS bahawa usaha Malaysia dalam memerangi pemerdagangan orang dalam tiga aspek utama iaitu pendakwaan, perlindungan dan pencegahan adalah tidak mencukupi atau memuaskan,’” menurut Pemangku Pengerusi SUHAKAM Datuk Dr Khaw Lake Tee dalam satu kenyataan media hari ini.

Khaw menyeru agar kerajaan memberikan pertimbangan yang sewajarnya kepada cadangan-cadangan SUHAKAM, termasuk mengukuhkan mekanisme dalam mendakwa pesalah dan melindungi mangsa.

Usaha ini perlu dilakukan dengan kerjasama kumpulan masyarakat sivil dan wakil diplomat, serta pihak berkepentingan antarabangsa dan serantau.

“ Kerajaan perlu memastikan bahawa Badan Bukan Kerajaan (NGO) disediakan ruang untuk menawarkan kepakaran mereka kepada Majlis Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (MAPO), memandangkan kebanyakan mangsa lebih cenderung untuk mendekati anggota masyarakat sivil bagi mendapatkan bantuan.”

Tambah SUHAKAM, kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan sebuah mahkamah khas bagi mempercepatkan penyelesaian kes yang berkaitan dengan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, di mana mangsa perlu dimaklumkan mengenai status kes mereka.

“Pastikan bahawa semua mangsa diberikan pemeriksaan kesihatan segera apabila tiba di rumah perlindungan serta menerima lawatan berkala oleh kakitangan perubatan.”

Dalam laporan TiP yang diterbitkan pada Jumaat, penurunan Malaysia ke Peringkat 3 menunjukkan bahawa negara dikategorikan sebagai gagal untuk mematuhi kehendak-kehendak antarabangsa yang paling asas untuk mencegah penyeludupan dan melindungi mangsa di dalam sempadannya.

Penurunan Malaysia ke Peringkat 3 adalah penyingkiran secara automatik selepas empat tahun tersenarai di Peringkat 2.

Antara tiga negara lain yang tersingkir ke peringkat terendah UNTI tahun ini ialah Thailand, Venezuela dan Gambia.

Penyingkiran boleh mengakibatkan sekatan ekonomi dan pemotongan bantuan kewangan pembangunan untuk negara tersebut.