Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menzahirkan semangat setiakawan kepada Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Palestin (ICHR) yang mengalami kemusnahan ibu pejabat di Bangunan Harara, Gaza akibat serangan peluru berpandu pada 12 Nov lepas.

Suhakam dalam kenyataan pada Jumaat berkata serangan kejam sehingga mencederakan seorang pegawai ICHR itu merupakan pelanggaran terhadap Perkara 3, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang menyatakan setiap orang adalah berhak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri.

"Serangan terhadap ICHR juga boleh dilihat sebagai pelanggaran Perisytiharan Pembela Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana tugas mereka melindungi hak-hak rakyat Palestin tidak boleh dihalang dengan tindakan keganasan dan intimidasi," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, hak asasi manusia sering dicabuli dan dilanggar semasa konflik bersenjata berlaku dan orang awam seringkali menderita akibat konflik sebegini.

Justeru, Suhakam menyeru gencatan senjata dilaksanakan bagi melindungi mereka yang tinggal di dalam kawasan konflik supaya hak asasi mereka dapat dipelihara.

-- BERNAMA