"Abuya nak sujud," itu merupakan permintaan terakhir Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari sebelum keadaan kesihatannya merosot pada Sabtu lepas.

Anak Allahyarham, Datuk Mohd Zain Hassan berkata selepas Allahyarham meminta untuk sujud beliau sudah tidak boleh bercakap dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur keesokan harinya untuk mendapatkan rawatan.

"Saya dan abang Abdul Rahman bantu arwah untuk sujud dalam 15 minit... arwah kata dia minta ampun kepada Allah dan bersyukur umur dia panjang, ada keluarga dan anak yang baik.

Itulah permintaan terakhir arwah kepada kami sebelum tidak boleh bercakap pada hari Ahad," katanya kepada pemberita di kediaman bapanya di Keramat, di sini hari ini.

Hassan, 90, tokoh agama terkenal negara meninggal dunia akibat kanser limfoma kira-kira 5 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Zain berkata mereka sekeluarga mula mengetahui mengenai penyakit kanser bapanya pada Ogos lepas.

"Arwah ada demam sebelum kelenjarnya bengkak... selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan arwah mengidap kanser. Sebelum ini arwah tidak menunjukkan simptom menghidapi kanser," katanya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd.

Allahyarham, yang juga bapa kepada bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan pelakon Datuk Jalaluddin Hassan mempunyai 22 anak termasuk bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan yang telah meninggal dunia pada Disember 2014.

Jenazah akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam kira-kira pukul 9 pagi esok sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, katanya.

-- BERNAMA