KUALA LUMPUR: Keputusan mempraktikkan pendekatan baharu dengan tidak menetapkan sasaran pingat secara spesifik, sebaliknya menyasarkan 27 pingat tanpa mengira warna pada Sukan Asia Hangzhou 2022, dibuat bukan secara membuta tuli.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegaskan penetapan sasaran itu diputuskan selepas mendapat pandangan Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) serta input daripada atlet dan jurulatih, termasuk menerusi post mortem atau pascanilai yang dilakukan selepas Sukan SEA 2023 di Kemboja.

"...telah dinasihatkan oleh (wakil) NSSU bahawa ini kaedah yang diguna pakai oleh Jepun dan Australia. Apa yang nak dilaksanakan ialah kita jangan lakukan sesuatu perkara secara membuta (tuli) hanya kerana ini praktis dulu.

"Masa sudah berubah, cabaran dihadapi oleh atlet juga berubah. Kalau negara itu guna pakai kaedah ini dan kita masih tegas mahu guna kaedah lama, kita yang rugi.

"Ini bukan satu kaedah KBS takut, MSN takut, kita guna nasihat profesional yang betul-betul tahu apa ingin dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Youth Capsule (Y-Capsule) @IYCResidence di Pusat Belia Antarabangsa di sini hari ini.

Kontinjen negara ke Sukan Asia di China, pada 23 Sept-8 Okt ini, terdiri daripada 289 atlet yang akan beraksi dalam 22 daripada 40 jenis sukan dipertandingkan.

Sementara itu, Hannah berkata beliau akan meneliti cadangan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan mengenai perancangan mewujudkan Akademi Sepak Takraw negara.

"Idea baharu ini bukan kita tidak mahu buat, cuma saya mahu melihat kemampuan untuk sambung program itu.

"Kalau hanya ada peruntukan untuk satu tahun tetapi tidak ada kesinambungan pun tiada guna.

"Semua ambil maklum, kita kekurangan dana dalam industri sukan dan kita sedang fokus untuk memberi insentif yang terbaik supaya industri sukan dapat berkembang tanpa melibatkan dana daripada kerajaan," katanya.

-- BERNAMA