ALOR SETAR: Seorang pesakit obesiti dengan berat badan melebihi 200 kilogram (kg) terpaksa mendapatkan bantuan tujuh anggota pasukan sukarelawan bagi mengangkat dan memindahkannya untuk dibawa ke hospital hari ini.

Menurut Pengarah Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) Mahadzir Abdul Hamid, sebaik menerima panggilan pada jam 7 pagi anggotanya bersama ambulans bergerak ke rumah pesakit itu di Taman Sofea, Jalan Kuala Kedah.

Mereka membantu mengangkat Mohd Irfan Abdul Wafti, 37 tahun, yang menghadapi masalah kesihatan tidak mampu bergerak untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Mahadzir berkata, kerja mengangkat dan mengusung dilakukan dengan menggunakan alat pengusung khas dan dikendalikan dengan berhati-hati bagi mengelak pesakit terjatuh.

Katanya, kerja memindahkan pesakit dari dalam rumah ke dalam ambulans mengambil masa 15 minit.

"Kita menggunakan peralatan pengusung khas yang diperbuat daripada besi bagi memudahkan kita hendak mengangkatnya.

"Kalau kita guna pengusung biasa, ia tak mampu untuk menampung berat yang melebihi daripada 130kg," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Mohd Irfan pula, sebelum ini dia diberi nasihat oleh pakar pemakanan ketika menjalani rawatan di HSB pada 2020, selain menjalani fisioterapi, sehingga berjaya menurunkan berat sehingga 160kg.

Namun, disebabkan COVID-19 yang melanda negara tahun lalu, Mohd Irfan dihantar pulang ke rumah dan perlu meneruskan diet sendiri.

Bagiamanapun, oleh kerana dia hanya duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tanpa pemantauan doktor dan fisioterapi, berat badannya naik semula melebihi 200kg.

Disebabkan itu, dia tidak dapat bergerak dan mengalami sakit seluruh badan.

"Saya sampai tak boleh nak baring, meniarap, mengiring, memang teruklah. Saya tidur duduk sahaja, sebab sakit seluruh badan," katanya.

Mohd Irfan mempunyai masalah berat badan sejak kecil namun sebelum ini dia mampu berdiri dan mengusahakan perniagaan katering.

Bagaimanapun, berat badannya terus meningkat pada 2020 menyebabkan dia dimasukkan ke hospital selepas tidak dapat bergerak dan hanya mampu mengesot.