Almarhum Sultan Azlan Shah merupakan seorang pemerintah yang sangat dikenali sebagai seorang pemerintah yang adil dan saksama serta berjiwa rakyat.

Ketika hayatnya, baginda bukan sahaja dikenali sebagai seorang sultan berpegang kepada keluhuran undang-undang dan pencinta sukan terutama hoki, malah dikalangan rakyat Perak mengenali Almarhum kerana memainkan peranan besar dalam usaha pembangunan pendidikan terutama sekolah agama rakyat di negeri tersebut.

Antara sekolah agama rakyat yang mendapat perhatian Almarhum adalah Madrasah Idrisiah yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Sebelum Almarhum dimahsyurkan sebagai Sultan pada 1984, Madrasah Idrisiah berada dalam keadaan uzur kerana ia merupakan pusat pengajian agama yang dibangunkan pada 1922.

Sebaik menaiki takhta pada tahun 1984, Almarhum Sultan Azlan Shah menitahkan agar madrasah Idrisiah dipulihkan dan diberi bantuan.

Menurut pengetua Madrasah Idrisiah, Khairul Anwar El Syazalli, sejak pusat pengajian itu didaftarkan dengan Kementerian Pendidikan, prestasinya semakin baik.

"Setelah madrasah didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan ini, kita telah mencapai beberapa pencapaian sama ada dalam bidang akademik dan kokurikulum, beberapa pelajar kita telah capai kejayaan diperingkat kebangsaan," katanya kepada Astro AWANI.

Usaha memartabatkan pusat pengajian itu dibuat dengan membangunkan modal insan antaranya mewujudkan persaingan di kalangan pelajar dan menyediakan kemudahan yang lebih selesa serta menambah aset sekolah.

Ia juga diperkukuh dengan pelaksanaan konsep perkongsian pintar bersama universiti dan kolej tempatan.