JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, sememangnya dikenali sebagai seorang Sultan mesra rakyat dan sangat prihatin terhadap isu-isu rakyat.
Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, di sini dan merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche' Besar Khalsom Abdullah.
Berusia 65 tahun, baginda sangat dikenali rakyat Johor kerana sifatnya yang suka dan sentiasa mendekati rakyat, terutama menerusi Kembara Mahkota Johor yang diilhamkan baginda sejak menjadi Tunku Mahkota Johor lagi.
Ketika berlaku bencana terutama ketika banjir, baginda antara yang terawal turun padang untuk melihat sendiri situasi sebenar, serta mengambil berat terhadap kesulitan yang melanda rakyat Johor.
Sultan Ibrahim juga antara yang lantang bersuara berkenaan kebersihan dan isu-isu alam sekitar, yang menjadi antara perkara yang menjadi perhatian baginda.
Prihatin dengan keresahan rakyat mengenai kos sara hidup yang meningkat, Sultan Ibrahim sering menghulurkan bantuan seperti kotak makanan serta terbaharu, kampit beras kepada golongan miskin.
Malah baginda juga dilihat sering singgah di gerai dan kedai makan di setiap daerah, sambil menyantuni rakyat jelata.
"Saya mendengar dan memahami keresahan dirasai seluruh Bangsa Johor, mengenai kekurangan dan kenaikan harga barangan asas seperti beras dan lain-lain," titah baginda menerusi Facebook rasmi baginda, baru-baru ini.
Pada temu bual dengan Bernama bulan lepas, Sultan Ibrahim menzahirkan kesediaan untuk melaksanakan tugas untuk negara dan rakyat.
"Ia bukan satu kenaikan pangkat. Ia tanggungjawab yang saya sedia untuk laksanakan bagi pihak Raja-Raja Melayu," titah baginda serta menambah rakyat akan sentiasa didahulukan, dalam temu bual tersebut.
Dari sudut kepimpinan pula, ciri-ciri kepemimpinan baginda terserlah selepas melibatkan diri di dalam aktiviti ketenteraan, yang turut dijadikan asas bagi membina semangat juang, disiplin serta perwatakan yang berwibawa.
Selain latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi, baginda pernah mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat, selain menjalani latihan airborne dan ranger untuk pegawai infantri.
Semangat ketenteraan yang tinggi dan tertanam dalam jiwa Sultan Ibrahim, mendorong baginda meneruskan latihan American Special Forces dan Pathfinder di mana, baginda membuat 19 terjunan payung terjun, lapan daripadanya pada waktu malam.
Sultan Ibrahim kemudian dipilih dan ditauliahkan sayap, seterusnya mendapat pengiktirafan sebagai seorang komando, malah lebih membanggakan, baginda turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara).
Baginda juga melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Indonesia.
Sultan Ibrahim turut menjalani latihan juruterbang helikopter bersama Tentera Udara Diraja Malaysia dan dikurniakan serta menerima sayap pada 26 April 1982, daripada Almarhum Sultan Iskandar.
Selain itu, baginda turut menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak, sekali gus melengkapkan baginda sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara yang berkemahiran.
Sultan Ibrahim, yang juga kekanda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, juga seorang yang meminati pelbagai masakan serta pandai memasak.
Sultan Ibrahim juga mempunyai pelbagai kemahiran, terutama dalam permotoran dan aktiviti air.
Pada 22 Sept 1982, baginda mendirikan rumah tangga bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan dikurniakan lima orang putera dan seorang puteri.
Baginda juga pernah dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8, pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989.
Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Jan 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Oct 27 2023
Baginda sangat dikenali rakyat Johor kerana sifatnya yang suka dan sentiasa mendekati rakyat, terutama menerusi Kembara Mahkota Johor. - Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Gempa bumi kuat 6.3 magnitud gegar Chile
Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud menggegarkan wilayah tengah Chile termasuk ibu negara, Santiago pada Jumaat.
UMNO tidak terima permohonan Tengku Zafrul keluar parti - Ahmad Zahid
Presiden UMNO sahkan parti itu tidak menerima permohonan Tengku Zafrul untuk meninggalkan parti.
Bola api penuhi ruang udara di Damsyik
Satu rakaman video memaparkan sejumlah bola api memenuhi ruang udara bandar Damascus diikuti bunyi letupan kuat turut kedengaran pada Jumaat.
Presiden Korea Selatan berdepan undi pemecatan kedua
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, kini menghadapi undi pemecatan kedua pada Sabtu selepas percubaannya mengisytiharkan undang-undang darurat selama beberapa jam mencetuskan krisis politik.
Parti-parti pembangkang merancang undi pemecatan pada Sabtu, pukul 4 petang, dengan perhimpunan besar dijadualkan sebelum undian.
Parti-parti pembangkang merancang undi pemecatan pada Sabtu, pukul 4 petang, dengan perhimpunan besar dijadualkan sebelum undian.
Kongres Khas PKR fokus reformasi pemilihan parti
Kongres Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan pada Ahad akan meminda perlembagaan parti.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata pindaan tersebut melibatkan aspek jumlah perwakilan, kuota gender, dan etnik.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata pindaan tersebut melibatkan aspek jumlah perwakilan, kuota gender, dan etnik.
Suri rumah rugi lebih RM750,000 ditipu pelaburan bitcoin
Seorang suri rumah berputih mata apabila kerugian lebih RM750,000 selepas terperdaya skim pelaburan bitcoin dalam talian.
“Sifat materialistik mengundang malapetaka dalam masyarakat” - Dr Maza
Nilai kemanusiaan tidak lagi mendominasi kehidupan kerana segala-galanya diukur berdasarkan keuntungan semata-mata.
Pembunuhan kejam, buli siber detik suram 2024
Tahun 2024 mencatatkan pelbagai peristiwa tragis menggemparkan negara termasuk jenayah kejam yang meragut nyawa empat individu.
Jumlah mangsa banjir terus catat penurunan
Jumlah mangsa banjir terus mencatat penurunan kepada 305 mangsa daripada 93 keluarga setakat jam 9 pagi Sabtu.
AWANI Ringkas: Kes bayi dibeku di hospital di Klang
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Agong, Permaisuri ucap selamat menyambut Vaisakhi, Tahun Baharu Tamil
Yang di-Pertuan Agong bertitah toleransi dan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain menjadi tunjang perpaduan negara selama ini.
Agong, Permaisuri zahir ucapan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan.
#AgongKita: Sultan Ibrahim terima menghadap PM Anwar di Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara.
Kenali Yang di-Pertuan Agong ke-17
Biografi Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim titah tidak terima permohonan menghadap hingga 31 Jan
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah tidak akan menerima apa-apa permohonan menghadap baginda mulai hari ini sehingga 31 Jan ini.
DUN Johor, MB ucap tahniah pelantikan Sultan Johor sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Sultan Johor selamat jalani pembedahan bahu kanan
Sultan Ibrahim berada dalam keadaan sihat selepas selamat menjalani pembedahan pada bahu kanan.
Flat kos rendah: Jangan putar belit kenyataan saya - Sultan Johor
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran kepada segelintir pihak supaya tidak menjadikan kenyataan baginda mengenai keadaan flat kos rendah di negeri ini sebagai isu politik.
Sultan Johor berkenan sambut ulang tahun kelahiran secara sederhana
Hari Ulang Tahun Keputeraan rasmi Sultan Ibrahim jatuh pada hari pertama umat Islam menyambut 1 Ramadan.
Jangan cuba pecah belah perpaduan Bangsa Johor - Sultan Ibrahim
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah menegaskan jangan ada pihak yang mencuba sebarang usaha untuk memecahbelahkan jambatan perpaduan Bangsa Johor.