JOHOR BAHRU: Perayaan Thaipusam edisi ini disambut meriah di Johor Bahru dengan ribuan penganut Hindu mula dilihat berhimpun dan membanjiri beberapa buah kuil di sekitar daerah itu, sejak 11 pagi Ahad.

Sambutan perayaan ini dimeriahkan dengan keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk meraikannya bersama lebih 10 ribu pengunjung di Kuil Arulmigu Sri Balasubramaniar, Skudai, hari ini. 

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim pada jam 11 pagi itu disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta barisan Exco Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Ling Tiang Soon menyifatkan sambutan perayaan itu lebih meriah berbanding beberapa tahun kebelakangan ini, berikutan kelonggaran ke atas sekatan COVID-19.

"Sambutan kali ini meriah, bukan sahaja penduduk di kawasan Johor Bahru sahaja malah kawasan persekitaran termasuk penduduk Kulai dan Singapura juga turun untuk merasai cara kita menyambut setiap perayaan. Hari ini, mereka dapat menyaksikan kaum hindu bagaimana mereka menyambut hari Thaipusam mereka secara tradisi," kata Tian Soon, ketika ditemui pemberita di majlis sambutan Thaipusam itu.

Katanya, persiapan rapi sedang dijalankan bagi meraikan perayaan Chinggay yang bakal diadakan secara besar-besaran diperingkat Selatan, pada 11 Februari.

Sambutan Thaipusam

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima sumbangan RM5,000 daripada pihak kuil untuk Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor menerusi Majlis Sambutan Thaipusam tersebut

Baginda turut berkenan memberi sumbangan RM200 kepada setiap 10 pelajar kurang berkemampuan yang terpilih di sekitar kawasan Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Kunjungan sultan ibrahim bagi sambutan itu merupakan kali pertama dalam tempoh tiga tahun berikutan penularan wabak COVID-19.