Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menitahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengeluarkan pekeliling bagi menentukan arah kiblat di pusat peranginan di negeri itu.

Pekeliling itu akan menjadi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kepada pengusaha pusat peranginan yang membina masjid dan surau di tempat mereka.

Penasihat MAINJ, Datuk Noh Gadut berkata, ia perlu dilaksanakan selepas surau yang dijadikan lokasi ritual penganut Buddha di resort di Tanjung Sutera, Tanjung Sedili tersasar 10 darjah ke kanan dari arah kiblat.

"Ia tersasar di sebelah kanan, ia lari dari Kaabah bahkan dari tanah haram lebih kurang 300km ke kanan. Syarat sah sembahyang menghadap kiblat, jadi selama ini sembahyang tidak sah tapi terserah kepada Allah mungkin dia tak mengetahui.

"Kita tak tahu adakah ini satu strategi pihak tertentu ataupun kesilapan sebab dia tak ikut peraturan tidak ikut putaran dan amalan yang jabatan agama Islam sebelum apa-apa nak buat surau hendaklah dimaklumkan kepada jabatan agama Islam melalui kadi daerah tujuan tanah diwakafkan mintak kebenaran berhubung kiblat, kiblat diukur kadi daerah," katanya.

Pada Isnin, MAINJ mengumumkan siasatan menyeluruh berhubung perkara penyalahgunaan surau akan dibuat di bawah seksyen 7 A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997, menghina agama Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Siasatan merangkumi aspek penggunaan dua kalimah Syahadah dan ayat Al-Quran yang meragukan di ruang solat, reka bentuk surau dan arah kiblat.

Dalam pada itu Noh berkata, surau yang dijadikan lokasi ritual penganut Buddha di resort di Tanjung Sutera akan dirobohkan selepas siasatan berhubung perkara itu selesai.

Selain roboh, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor juga akan bermesyuarat bagi memutuskan tindakan setimpal terhadap pengusaha resort berkenaan.

Katanya, surau berkenaan kini menjadi barang kes untuk sehingga pihak polis menyelesaikan prosedur siasatan mereka.

"Itu barang kes, biasanya barang kes perlu dijaga sebab benda ni boleh berlaku, barang kes dijaga oleh pihak polis dan rela pun ada semalam, ada kemungkinan besar akan dirobohkan mengikut proses," katanya.

Jelas Noh, setelah siasatan polis, pihaknya akan mengambil alih kes mengikut prosedur yang ditetapkan.

Noh berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Pusat Islam Iskandar.

Terdahulu, Noh menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi.