Skip to main content

Malaysia

Sultan Selangor perkenan temasya SUKMA 2026 diteruskan secara berhemat - KBS

SHAH ALAM, 20 April -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
KBS memaklumkan Sultan Selangor memberi perkenan itu setelah menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas. -Foto fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 oleh Negeri Selangor akan diteruskan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sultan Selangor memberi perkenan itu setelah menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas. 

Advertisement

“Baginda memberi perkenan supaya SUKMA Selangor kekal dilangsungkan dari 15 hingga 24 Ogos dengan langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemat,” menurut kenyataan itu. 

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dalam kenyataan sama menjunjung kasih atas perkenan Sultan Selangor dan berterima kasih kepada Perdana Menteri yang meletakkan kepentingan atlet muda negara sebagai keutamaan ketika memutuskan SUKMA 2026 diteruskan.

“Atlet muda wajar terus diberi peluang bertanding pada peringkat tertinggi. Tambahan pula SUKMA 2026 antara medan pemilihan dan persiapan atlet muda bagi membawa cabaran negara pada temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di negara kita pada tahun hadapan,” katanya. 

Dr Mohammed Taufiq berkata beliau telah berbincang keputusan itu dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang menjanjikan kerjasama erat kerajaan negeri demi memastikan penganjuran SUKMA Selangor 2026 dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau juga memaklumkan telah menerima perkenan untuk menghadap Sultan Sharafuddin yang dijadualkan pada Rabu ini bersama-sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor untuk memaklumkan perkembangan perancangan terkini berhubung penganjuran SUKMA 2026. 

Beliau berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada Khamis ini akan dimanfaatkan Sekretariat SUKMA Selangor 2026 untuk membentangkan status terkini persiapan terutama langkah penjimatan yang akan dilaksanakan selaras dengan perkenan Sultan Sharafuddin. 

Dr Mohammed Taufiq berkata sebarang maklumat tambahan berkenaan SUKMA Selangor 2026 akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA itu.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah penganjuran SUKMA Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video