MALAYSIA
Sultan Selangor titah lantikan hakim-hakim kanan perlu patuh Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan

Sultan Selangor menyokong penuh kenyataan dikeluarkan Istana Negara 10 Julai lalu berhubung kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Ketua Hakim Negara. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor bertitah tentang keperluan untuk sentiasa berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan.
Ringkasan AI
- Baginda menekankan kepentingan mematuhi Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan berkaitan pelantikan hakim atasan, sambil menyokong penuh kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini.
- Sultan Sharafuddin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269, dengan agenda utama melibatkan pelantikan Ketua Hakim Negara dan jawatan kehakiman penting lain.
- Baginda berharap tiada pihak menimbulkan kekeliruan, dan menzahirkan penghargaan kepada semua yang menghormati Institusi Raja-Raja Melayu serta keluhuran undang-undang.
"Dalam hal ini, Beta merujuk penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bertarikh 16 Julai 2025 yang menyatakan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang.
"Sebagai Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini, Beta amat berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan sebarang kekeliruan atau spekulasi berkaitan isu ini.
"Beta juga ingin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menjaga kemuliaan Institusi Raja-Raja Melayu serta menghormati peranan Majlis Raja-Raja dalam memelihara keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," titah Sultan Selangor dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Dalam pada itu, Sultan Selangor menzahirkan rasa kesyukuran susulan mesyuarat ‘pre-council’ Majlis Raja-Raja telah diadakan pada 15 Julai lalu diikuti dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-269 yang telah bersidang semalam (16 Julai).
“Beta telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang diadakan pada kali ini. Alhamdullilah, beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mesyuarat ini telah dapat berjalan dengan baik dan lancar,” titah baginda.
Sultan Selangor bertitah antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan dengan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.
Dalam pada itu, Sultan Selangor menyokong penuh kenyataan dikeluarkan Istana Negara 10 Julai lalu berhubung kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan penting yang lain dalam badan kehakiman.
Baginda bertitah kenyataan dikeluarkan Istana Negara itu menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan penting yang lain dalam badan kehakiman setelah mendapat nasihat Perdana Menteri dan berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami