POLITIK
'Kalau gantung sembilan ahli Parlimen, PKR tinggal 22 kerusi' - Rafizi

Rafizi menegaskan, sekiranya kerusi PKR berkurang, jumlah kerusi parti itu hanya lebih sedikit berbanding beberapa parti-parti lain dalam gabungan Kerajaan Madani. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menggantung keahlian sembilan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dalam isu badan kehakiman hanya akan menyebabkan parti itu tinggal 22 kerusi.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Rafizi Ramli menolak desakan agar beliau dan lapan ahli Parlimen PKR digantung keahlian kerana menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan badan kehakiman, dengan menyatakan tindakan itu tidak menyelesaikan masalah dan akan mengurangkan kerusi PKR kepada 22.
- Rafizi menegaskan bahawa ahli Parlimen dipilih rakyat untuk bersuara dan tindakan menggantung mereka memberi gambaran seolah-olah tiada ruang demokrasi dalam parti, sedangkan sebelum ini tiada tindakan diambil terhadap ahli Parlimen lain yang lebih lantang mengkritik Perdana Menteri.
- Beliau mengingatkan bahawa kekuatan PKR terletak pada budaya memberi ruang bersuara dan membawa isu rakyat tanpa mengira jawatan, serta menasihatkan pimpinan baharu agar memahami asas perjuangan parti yang terbina atas prinsip keterbukaan dan keberanian bersuara.
"Ada desakan supaya saya dan lapan lagi ahli Parlimen PKR yang memulakan syor penubuhan RCI mengenai badan kehakiman digantung.
"Maka ramailah ketua-ketua cabang di seluruh negara berlumba-lumba keluar kenyataan media mendesak kami digantung.
"Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh kata akan bentang kepada Majlis Pimpinan Pusat tidak lama lagi. Saya perhatikan saja. Anggota parti biasa pun perhati.
"Rakyat pun perhati juga. Nasihat saya, kalau main catur atau main dam haji, sebelum ghairah nak makan lawan, tengok dulu aturan kat sebelah kita," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini wujud desakan daripada beberapa pihak di dalam PKR termasuk dari ketua-ketua cabang di Johor dan Kedah supaya tindakan disiplin seperti menggantung keahlian diambil terhadap Rafizi serta lapan ahli Parlimen PKR itu susulan tindakan mereka mengkritik kontroversi lantikan dalam institusi kehakiman yang dilihat memberi imej buruk kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Ahli Parlimen Pandan berkenaan menegaskan, sekiranya kerusi PKR berkurang, jumlah kerusi parti itu hanya lebih sedikit berbanding beberapa parti-parti lain dalam gabungan Kerajaan Madani.
"Menggantung sembilan orang ahli Parlimen menyebabkan PKR tinggal 22 kerusi, (bilangan) lebih sedikit dari DAP, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya.
Rafizi berkata, pimpinan PKR peringkat cabang dari generasi yang baharu menang selepas pemilihan parti baru-baru ini perlu tahu bahawa parti terbabit tidak dibina dengan menutup mulut.
Dakwa beliau, PKR nampak dinamik kerana sentiasa bergerak secara organik dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk membawa isu rakyat tanpa mengikut hirarki atau jawatan parti.
Katanya, parti tersebut juga diminati rakyat sebelum ini kerana mereka paling cepat dan lantang bersuara dalam isu-isu rakyat.
"Itulah amalan kami yang tua-tua ini sehingga PKR berjaya membentuk kerajaan dan membuka peluang kepada pimpinan baharu seperti ketua-ketua cabang ini untuk menjadi orang besar dan berjawatan.
"Kalau belum tahu budaya dalam PKR, ini satu petua yang saya nak kongsi.
"Sayangkan anak tangan-tangankan. Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan. Sayangkan negara tegur-tegurkan,” katanya. - SInar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami