Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah tidak setuju bahawa afidavit disahkan oleh seorang warga Britain bahawa kenyataan fitnah disuarakan oleh pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown tidak merujuk kepada baginda, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu.

Peguam Vishu Kumar, yang mewakili baginda dalam hujahnya berkata bahawa defendan (Rewcastle-Brown) berpegang pada afidavit John Ellision Kahn yang disahkan pada 24 Jun tahun ini, dengan menyatakan bahawa kenyataan yang diadu dirujuk kepada Sultan dan bukan permaisuri Sultan.

"Kahn sendiri berkata dalam afidavitnya bahawa beliau tidak menuntut peranan seorang pakar. Oleh kerana itu, maka pendapat John mengenai kenyataan tersebut tidak punya nilai siasat dan wajar ditolak," kata beliau pada perbicaraan permohonan Sultanah Nur Zahirah bagi saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown dan dua yang lain diselesaikan menerusi penghakiman terus.

Vishu juga berhujah bahawa selepas defendan membuat dan menerbitkan kenyataan diadu dalam eksibit, defendan kemudian membuat pindaan dalam cetakan berikut Buku berkenaan di mana sehubungan dengan kenyataan itu, defendan menggantikan rujukan kepada plaintif (Sultanah Nur Zahirah) dengan adik perempuan Sultan.

"Jika defendan benar-benar melihat kenyataan yang diadukan itu dalam Buku tersebut bermakud merujuk kepada Sultan, maka defendan boleh dengan mudah memadam perkataan 'the wife of' (permaisuri kepada) dan hanya mengekalkan perkataan 'Sultan' bila defendan menerbitkan cetakan Buku tersebut berikutnya.

"Tindakan defendan yang menggantikan rujukan kepada plaintif dengan adik Sultan, menunjukkan defendan sedia mengakui bahawa mereka bersalah kerana membuat kenyataan fitnah mengenai plaintif dalam Buku tersebut," katanya.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim kemudian menetapkan 18 Okt bagi mendengar hujah daripada peguam defendan Americk Singh Sidhu.

Sultanah Nur Zahirah memfail permohonan pada 27 Mei tahun ini, bagi saman baginda diputuskan menerusi penghakiman terus di bawah Perintah 14A Peraturan Mahkamah 2012.

Sultanah Nur Zahirah memfail saman itu pada 21 Nov tahun lepas, dengan menamakan Rewcastle-Brown atau Clare Louise Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin serta syarikat percetakan, Vinlin Press Sdn Bhd, selaku defendan pertama hingga ketiga, membuat kenyataan merosakkan mengenai diri baginda dalam bukunya The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose.

Plaintif mendakwa kenyataan itu boleh dianggap bermaksud yang baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) yang kemudian menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Baginda mendakwa kenyataan itu juga memberi gambaran yang baginda telah menolong ahli perniagaan dalam buruan. Jho Low atau Low Taek Jho untuk menjadi penasihat TIA.

Sultanah Nur Zahirah berhujah bahawa baginda tidak pernah mencampuri pentadbiran negeri dan penubuhan TIA, oleh itu kenyataan tersebut telah memfitnah dan merosakkan reputasi baginda.

Baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta dari setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu seterusnya.

-- BERNAMA