Sultanah Terengganu berkenan hadir Majlis Hi-Tea Diraja UniSZA

Sultanah Nur Zahirah (dua dari kanan) berkenan menerima replika cek bernilai RM50,000 daripada Abie Abdullah (kanan) yang mewakili Emas Cempaka.
KUALA TERENGGANU: Majlis Hi-Tea Diraja sempena Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-17 berlangsung penuh istiadat dan kemeriahan di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) baru-baru ini dengan keberangkatan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Tuanku Canselor UniSZA.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pro-Canselor UniSZA, Tan Sri Mohd Yusof Mohamed Nor serta Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Fadzli Adam.
Lebih 250 tetamu termasuk lapan tetamu kehormat juga hadir memeriahkan majlis yang menjadi platform mengiktiraf sumbangan rakan strategik universiti dalam agenda kebajikan dan pembangunan sosial.
Dalam majlis tersebut, Sultanah Nur Zahirah berkenan menerima sumbangan kewangan berjumlah RM100,000 daripada dua syarikat korporat – EcoTwin Step Sdn Bhd dan Emas Chempaka Sdn Bhd – bagi Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA).
Ketua Pegawai Eksekutif EcoTwin Step Sdn Bhd, Datuk Hisham Dzakiria menyerahkan sumbangan bagi pihak syarikat, manakala Emas Chempaka diwakili Pengarah Komunikasi EcoTwin Step, Abie Abdullah.
Emas Chempaka merupakan anak syarikat EcoTwin Step.
Menurut Hisham, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dan bertujuan meringankan beban pesakit yang kurang berkemampuan.
“EcoTwin Step bukanlah syarikat besar, kami masih baru. Namun, kami percaya dalam setiap rezeki kita, ada bahagian untuk orang lain. Sumbangan ini adalah usaha kecil kami untuk membantu meringankan beban pesakit yang memerlukan,” katanya.
Majlis turut meraikan para penyumbang sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka terhadap CSR yang memberi impak positif kepada komuniti setempat, khususnya pesakit kategori asnaf dan B40 yang menerima rawatan di HoSZA.
Majlis Hi-Tea Diraja ini turut diserikan dengan persembahan istimewa dan sesi ramah mesra bersama Tuanku Canselor serta wakil penyumbang sebagai simbolik penghargaan atas keprihatinan dan sokongan berterusan kepada UniSZA dan HoSZA.
Hospital Sultan Zainal Abidin atau HoSZA merupakan hospital pengajar milik UniSZA yang mula beroperasi sepenuhnya pada 2022.
Ia berfungsi sebagai pusat latihan, pengajaran dan penyelidikan bagi pelajar bidang perubatan serta menjadi hospital rujukan komuniti bagi negeri Terengganu.
Tabung Kebajikan Pesakit HoSZA ditubuhkan bagi membantu pesakit kategori asnaf dan B40 menampung kos rawatan, dengan sokongan daripada orang ramai, institusi dan rakan strategik universiti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


