Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Elyas Omar sepanjang tempoh perkhidmatannya dari 1981-1992 sangat dikenali atas usaha-usahanya yang cemerlang dalam pembangunan infrastruktur sejajar dengan pelbagai sumbangan sosial dan ekonomi kepada warga kota.

Elyas, yang meninggal dunia pada usia 82 tahun pada Selasa, banyak membantu menyediakan perumahan kepada penduduk setinggan, mengindahkan taman awam dan mewujudkan Taman Orkid, Taman Burung, Taman Rama-Rama dan Dataran Merdeka yang terkenal di Kuala Lumpur.

Atas sumbangan luar biasanya itu, Elyas yang dilahirkan di Pulau Pinang, dinamakan Tokoh Wilayah Persekutuan 2007 oleh Kementerian Wilayah Persekutuan yang ketika itu diterajui bekas menterinya Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Beliau juga seorang tokoh yang tidak asing dalam arena sukan tanah air, sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 1985-1993, beliau memainkan peranan penting apabila Malaysia menjuarai Piala Thomas pada 1992, dan sehingga kini skuad negara masih kempunan untuk mengulangi pencapaian tersebut.

Sementara dalam kancah bola sepak tempatan, Elyas merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur apabila pasukan berkenaan muncul juara Piala Malaysia tiga kali berturut-turut dari 1987 hingga 1989.

BACA: Bekas Datuk Bandar, Elyas Omar meninggal dunia

Pada 2005 hingga 2008, Elyas dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Beliau juga adalah Pesuruhjaya Sukan yang pertama mengarahkan persatuan-persatuan sukan supaya berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan bukan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Semasa memegang jawatan selaku Pesuruhjaya Sukan, Elyas yang memiliki Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Undang-undang, banyak menyelesaikan pelbagai masalah atau konflik dalam sukan golf, taekwondo, badminton, lawan pedang dan bola sepak.

-- BERNAMA