JOHOR BAHRU: Mesin ultrabunyi baharu yang diterima Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini, akan memberi manfaat kepada kira-kira 40 pesakit jantung dan paru-paru yang akan menjalani pembedahan di hospital itu, setiap bulan.

Pengarah HSA Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata mesin ultrabunyi bernilai RM200,000 sumbangan daripada syarikat firma guaman Ikbal Salam & Associates itu, akan ditempatkan di Unit Kardiotorasik, Anestesia dan Perfusi hospital berkenaan.

"Pengurusan HSA berbesar hati menerima mesin ultrabunyi ini yang akan memberi impak besar kepada pelaksanaan pembedahan jantung dan paru-paru pesakit terlibat.

"Fungsi utama mesin ultrabunyi ini adalah untuk melihat dan meneliti salur nadi dan salur darah sebelum pembedahan dibuat selain memastikan prosedur pembedahan dilaksana dengan tepat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan mesin ultrabunyi itu di hospital berkenaan, di sini.

Turut hadir, Penaung Ikbal Salam & Associates Rafeah Syamsudin dan Pengarah Ikbal Salam & Associates Farrah Shida Mohammad Tapsir.

Sementara itu, Farrah Shida berkata pihaknya menyegerakan pemberian mesin ultrabunyi itu selepas menerima permohonan daripada HSA bulan lepas.

"Mesin ultrabunyi ini antara model keluaran terkini dalam bidang perubatan, ia penting bagi mendapatkan maklumat tepat pesakit dan mempercepat urusan pembedahan yang dijalankan terhadap pesakit untuk mendapatkan rawatan segera.

"Sumbangan ini adalah manifestasi penghargaan kepada petugas barisan hadapan HSA yang telah banyak berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa," katanya.

Farrah Shida berkata selain sumbangan mesin ultrabunyi itu, syarikat firma guaman berkenaan turut menaja bayaran utiliti kepada beberapa surau, masjid serta sekolah di negeri ini.

-- BERNAMA