ALOR SETAR: Sungai Padang Terap di Kampung Kubu dalam daerah Padang Terap mencatatkan bacaan melebihi bahaya iaitu 13.79 meter (m) melepasi paras bahaya 13.02 meter setakat 7 malam ini, berikutan hujan sejak awal pagi tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata lima lagi sungai di empat daerah pula merekodkan paras air melebihi waspada.

"Lima sungai melebihi paras waspada ialah Sungai Sari (27.45m) dan Sungai Perik (11.76m) di daerah Padang Terap; Sungai Anak Bukit di Kota Setar (2.14m), sungai di Empangan Beris di Sik (84.07m) serta Sungai Ketil di Baling (15.68m)," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Muhammad Suhaimi berkata satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pada 2 petang tadi di Kompleks Rakan Muda, Baling yang menempatkan 151 mangsa daripada 47 keluarga.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di beberapa kampung berdekatan sungai di daerah Kota Setar mendapati penduduk berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Seorang penduduk di Kampung Alor Gunung, Hasrah A. Hamid, 61, berkata dia sekeluarga sudah terbiasa dengan kejadian banjir dan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya paras air sungai meningkat.

"Cumanya, yang membimbangkan setiap kali banjir adalah anak lelaki yang berusia 32 tahun dan mengalami sakit buah pinggang kronik sejak dua tahun lepas kerana dia sering mengalami jangkitan kuman sebab terdedah kepada persekitaran tidak bersih," katanya.

-- BERNAMA