KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menambah caruman simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM500 kepada dua juta pencarum menerusi pengumumnan Belanjawan 2023, dilihat mampu memulihkan semula dana caruman mereka.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata inisiatif melibatkan pengagihan hampir RM1 bilion peruntukan kerajaan kepada pencarum berumur 40 hingga 54 tahun itu, merupakan tindakan terbaik.

"Jumlah RM500 ini sekiranya terus kekal di dalam tabungan dana caruman, mereka yang berusia 40 tahun ketika ini akan mempunyai tambahan nilai lebih daripada 100 peratus atau RM1,039.46 apabila mencecah usia 55 tahun," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata usaha kerajaan itu juga sudah semestinya akan memulihkan semula peratusan pencarum KWSP berusia 55 tahun ke bawah yang tidak mempunyai cukup wang apabila bersara, di samping caruman berterusan oleh para pencarum turut akan memulihkan semula peratusan itu pada masa akan datang.

Dalam Belanjawan 2023 pada 24 Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak RM500 akan diagihkan kepada ahli KWSP yang berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan kurang RM10,000 dalam Akaun 1 mereka sekali gus akan memanfaatkan hampir dua juta ahli KWSP.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM145 bilion simpanan KWSP melalui empat pengeluaran sebelum ini telah menyebabkan bilangan ahli aktif yang mencapai Simpanan Asas RM240,000 pada usia 55 tahun menurun daripada 36 peratus pada 2020 kepada 29 peratus pada akhir 2022.

"Pengeluaran dana caruman seperti i-Lestari, i-Citra, i-Sinar dan Pengeluaran Khas sebelum ini dibuat atas situasi kecemasan terutamanya untuk survival ketika COVID-19 melanda. Justeru, tindakan meminta untuk membenarkan pengeluaran caruman KWSP dilihat kurang sesuai melihat kepada ketiadaan situasi kecemasan atau keperluan mendesak," katanya.

Justeru, Muhammad Iqmal Hisham berkata tindakan meminta untuk membenarkan pengeluaran caruman KWSP dilihat kurang sesuai, melihat kepada ketiadaan situasi kecemasan atau keperluan mendesak.

Dalam masa sama, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata pelaburan yang diletakkan pada dana persaraan dan dividen yang diterima pencarum akan berkurangan sekiranya dana KWSP kurang daripada RM1 trilion.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Nurulhuda Mohd Satar berkata isu jaminan sosial selepas persaraan merupakan satu masalah yang semakin meruncing dalam negara terutamanya mereka yang tidak mampu untuk membuat simpanan persaraan selain daripada KWSP.

"Pada masa ini kita (pencarum) perlu memikirkan kesan jangka panjang atau sebarang inisiatif yang dilaksanakan, terutama sekali dalam menghadapi keadaan ekonomi yang masih lagi tidak menentu. Secara dasarnya, faedah daripada langkah ini akan membawa pulangan kepada pencarum sendiri apabila pertumbuhan ekonomi dapat dijana dengan lebih pantas.

"Namun begitu, kerajaan juga haruslah memainkan peranan dalam memastikan bahawa tiada ketirisan berlaku supaya proses limpahan ke bawah (trickle down effect) benar-benar dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat," katanya.

Nurulhuda berkata meskipun langkah kerajaan tidak membenarkan pengeluaran KWSP telah mengecewakan beberapa pihak, namun beliau menyarankan supaya pencarum sentiasa mengoptimumkan faedah daripada insentif-insentif lain yang ditawarkan kerajaan.

-- BERNAMA