Skip to main content

Malaysia

Super El Nino dijangka melanda November hingga Disember - MetMalaysia

Super El nino_Freepik
El Nino sedang berlaku dan ia sedang meningkat menjadi Super El Nino seperti dinyatakan sekitar November hingga Disember nanti serta boleh berterusan sehingga awal tahun depan. - Gambar hiasan/Freepik
Advertisement

KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino yang sedang berlaku ketika ini dijangka meningkat kepada Super El Nino sekitar November hingga Disember dan berpotensi berterusan sehingga awal tahun hadapan.

Timbalan Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ramlan Ab. Rahman berkata, jangkaan itu berdasarkan pemantauan pusat-pusat iklim global.

“Berdasarkan pusat pemantauan iklim global, memang menunjukkan akan berlakunya fenomena Super El Nino.

“El Nino sedang berlaku dan ia sedang meningkat menjadi Super El Nino seperti dinyatakan sekitar November hingga Disember nanti serta boleh berterusan sehingga awal tahun depan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut Ramlan, keadaan itu berpotensi memberi kesan lebih ketara apabila Malaysia memasuki fasa kering pada penghujung Monsun Timur Laut, lazimnya antara Januari hingga Mac.

Katanya, pengurangan taburan hujan dijangka berlaku terutama di negeri-negeri utara Semenanjung termasuk Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Pada masa sama jelasnya, timur Sabah juga berpotensi mengalami cuaca panas dan kering yang boleh meningkatkan risiko kemarau.

Ramlan turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas dan berjerebu serta menggunakan air secara berhemah.

Katanya, pengurangan hujan yang berpanjangan juga berpotensi menjejaskan bekalan air.

Must Watch Video

Advertisement