Ahli Parlimen PKR-Padang Serai, N. Surendran diarah keluar dari Dewan Rakyat selepas beliau gagal mematuhi arahan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Naib Presiden PKR itu diarah keluar kerana tidak menghormati dewan dan cuba mengemukakan petisyen berkaitan kes kematian dalam tahanan sebelum sesi soal jawab lisan dimulakan.

Surendran sebelum itu bangun bagi mengemukakan petisyen berkenaan selepas doa dibacakan.

Pandikar bagaimanapun menolak permohonan Surendran dan menegaskan petisyen hanya boleh dibuat selepas selesai sesi soal jawab lisan.

"Ahli yang berhormat Padang Serai, saya buat keputusan yang berhormat. Yang Berhormat, saya tahu yang Berhormat apabila berdiri mengenai dengan petisyen terpaksa juga rujuk point of order 14 F." tegas Pandikar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

"Sudah dibuat keputusan sebelum ini bahawa sebelum sesi soal jawab jangan ada point of order. Selepas sesi soal jawab baru buat sesi 'point of order'. Yang Berhormat sama ada rayuan atau tidak bukan sebelum sesi soal jawab."

Tindakan Surendran enggan mendengar nasihat yang dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengakibatkan beliau diarah keluar Dewan.

"Oleh kerana Padang Serai enggan mematuhi arahan saya maka sekarang ini saya arahkan yang berhormat padang serai keluar daripada Dewan."

Arahan Pandikar itu mengakibatkan suasana di dalam Dewan Rakyat menjadi kecoh seketika.

Pandikar menegaskan beliau sebenarnya sedia untuk mendengar petisyen yang ingin dikemukan oleh Surendran.

Namun tegasnya, sebagai Ahli Parlimen Surendran sepatutnya akur kepada peraturan Dewan Rakyat yang dipersetujui semua.