NATIONAL
Suri rumah dalang rancang rompak mentua sendiri

Polis menahan enam individu termasuk wanita tersebut selepas siasatan mendapati kejadian itu dirancang, dan hasil jualan barang kemas digunakan untuk membayar suspek lain serta melunaskan hutang along.
PEKAN: Helah seorang suri rumah yang berpura-pura menjadi mangsa samun terbongkar apabila siasatan polis mendapati kejadian itu dirancang bersama rakannya bagi mendapatkan barangan kemas bernilai RM12,000 milik ibu mentuanya.
Ringkasan AI
- Seorang suri rumah berpura-pura menjadi mangsa samun untuk merompak barang kemas bernilai RM12,000 milik ibu mentuanya, dengan bantuan beberapa rakan.
- Polis menahan enam individu termasuk wanita tersebut selepas siasatan mendapati kejadian itu dirancang, dan hasil jualan barang kemas digunakan untuk membayar suspek lain serta melunaskan hutang along.
- Beberapa suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau, manakala pelbagai barangan berkait kes dirampas; dua suspek utama akan didakwa di Mahkamah Seksyen Kuantan pada 23 Mei.
Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 36 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan pada 15 Mei lalu.
“Siasatan awal mendapati wanita berusia 27 tahun itu mendakwa dirinya disamun oleh empat lelaki bertopeng bersenjatakan pisau.
"Namun, siasatan lanjut mendapati dia sebenarnya merancang kejadian samun itu bersama rakannya untuk merompak barang kemas milik ibu mentuanya.
"Selepas menyamun, hasil jualan barang kemas tersebut digunakan untuk membayar suspek lain dan melunaskan hutang along,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Tambahnya, mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan samun, dadah dan pecah rumah.
“Malah, seorang daripada suspek memiliki 12 rekod jenayah lampau termasuk di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut Mohd Zaidi, dua lagi suspek iaitu wanita yang berpura-pura menjadi mangsa dan seorang lelaki didapati negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kita turut merampas pelbagai barangan dipercayai berkait dengan kejadian samun tersebut hasil maklumat daripada suspek yang ditahan.
“Antara barangan dirampas termasuk tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, seutas rantai leher dan gelang tangan, beberapa helai pakaian, sebilah pisau berhulu kayu, kad bank serta dokumen pajak gadai,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, semua suspek kini direman sehingga 23 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Dua suspek utama iaitu wanita berkenaan dan rakannya akan dituduh di Mahkamah Seksyen Kuantan pada 23 Mei ini,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah keluarga di Felda Chini Timur berdepan detik cemas apabila disamun empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau yang memecah masuk rumah mereka. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami