KUALA KANGSAR: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang maut akibat tikaman dipercayai sedang mengopek bilis di rumahnya sebelum ditemui tidak sedarkan diri dalam kejadian di Kampung Cheh Hilir, Kati, lapor Sinar Harian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Cheh Hilir, Nur Halim Abdul Hamid berkata, suami mangsa yang berada di dapur ketika kejadian terdengar isterinya memberitahu bahawa kakinya dicucuk sebelum menemui wanita itu dalam keadaan berlumuran darah.
Menurutnya, suami mangsa kemudian mendapatkan bantuan penduduk kampung sebelum menghubunginya kira-kira jam 2 petang.
"Saya datang dan tengok keadaan arwah sudah tidak sedarkan diri dengan darah mengalir banyak di bawahnya.
"Suaminya beritahu ketika itu arwah sedang mengopek ikan bilis di bahagian tengah rumah, tetapi dia sendiri tidak pasti bagaimana kejadian berlaku," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.
Nur Halim berkata, tiga anak pasangan itu juga merupakan OKU dan keluarga berkenaan merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, keluarga berkenaan tidak pernah mengganggu penduduk kampung.
Katanya, suami Allahyarham pernah menjadi anggota jawatankuasa masjid dan aktif membantu penduduk kampung terutama dalam urusan pengurusan jenazah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, dua anak mangsa telah diserahkan kepada JKM untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita OKU ditemui maut dengan kesan kecederaan dipercayai akibat tikaman di rumahnya di Kampung Cheh Hilir pada Rabu.
Mangsa ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di rumah yang didiaminya bersama suami dan tiga anak.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.38 petang selepas ahli keluarga menyedari mangsa berada dalam keadaan tertiarap, tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di ruang tamu rumah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.
Polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, jiran mangsa, Badariah Jaafar, 72, berkata, beliau mengetahui kejadian itu selepas melihat orang ramai dan beberapa motosikal berada berhampiran rumah mangsa kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Menurutnya, seorang penduduk yang menyaksikan kejadian memaklumkan bahawa Nor Ainon mengalami kecederaan.
Badariah berkata, Nor Ainon yang mesra dengan penduduk kampung sering bertegur sapa dengan jiran, termasuk ketika melihat kanak-kanak pulang dari sekolah.
"Kali terakhir saya jumpa arwah pada pagi Rabu ketika saya menyapu di luar rumah. Dia duduk atas gelung batu sambil berbual dan bergelak dengan anaknya yang kecil.
"Dia memang jiran yang baik dan suka membantu walaupun dirinya sendiri tidak berapa larat. Kadang-kadang saya beritahu dia tidak perlu buat, tetapi dia tetap membantu kutip buah kelapa, angkat barang dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata, keluarga Nor Ainon juga tidak pernah mengganggu jiran dan penduduk kampung, malah ada kalanya penduduk turut memberikan makanan kepada keluarga berkenaan.