KUALA LUMPUR: Ramadan dan Syawal tahun ini sudah tentu amat bermakna buat umat Islam apabila dapat meraikan kemeriahannya bersama keluarga tersayang selepas mendepani tempoh mencabar sejak pandemik COVID-19 melanda negara. 

Tidak terkecuali untuk menambah keceriaan sambutan adalah pusat membeli belah terkemuka di ibu negara, Suria KLCC yang memilih untuk menempatkan sebuah replika lampu pelita terbesar di Malaysia yang turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) 2022.

Menurut Pengerusi pihak pengurusan Suria KLCC Sdn Bhd, Md Shah Mahmood, ia adalah usaha kumpulan itu dalam mengembalikan keriangan Ramadan dan Syawal selepas negara berdepan tempoh sukar pandemik COVID-19.

"Seperti yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records 2022, replika lampu pelita terbesar di Malaysia yang berketinggian 17 meter dan 12 meter lebar adalah usaha kami dalam menyemarakkan keriangan Ramadan dan Syawal di kota raya ini.

"Berdiri sebagai pusat beli belah premium di Malaysia, usaha ini dilihat sebagai kerjasama penting dalam mengembalikan kegirangan di kalangan kelompok komuniti selaras dengan proses asimilasi pembukaan pelbagai aktiviti setelah melalui tempoh dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Selain replika lampu pelita, pengunjung juga boleh merasai keunikan tema 'Raya di Dusun Atuk' di sekitar kompleks membeli belah itu.

Turut dibangunkan replika rumah kampung tradisional berinspirasikan 'Rumah Melayu Melaka' di bahagian 'Centre Court' Suria KLCC.

Tambahnya, pengunjung juga boleh mengambil peluang bergambar bersama keluarga di sudut 'Family Potrait' yang turut disediakan dengan dekorasi Aidilfitri.

Selain Suria KLCC jelasnya, tema yang sama turut dibawa di pusat membeli belah Alamanda dan Mesra Mall bagi menyuntik keceriaan Ramadan dan Syawal buat pengunjung.