Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Suriyani dilantik Naib Canselor baharu UMT

Sukacita dimaklumkan bahawa YB Menteri Pendidikan Tinggi telah bersetuju melantik YBrs. Profesor Dr. Suriyani binti Muhamad sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu yang baharu berkuat kuasa mulai 28 September 2026. -- FB UMT - Universiti Malaysia Terengganu
Pelantikan Suriyani adalah berdasarkan pengalaman luas dalam bidang akademik dan pengurusan, serta kepakaran dalam bidang ekonomi yang dilihat mampu membawa perspektif kepimpinan menyeluruh dalam memperkukuh kedudukan UMT. - FB UMT
Advertisement

KUALA NERUS: Prof Dr Suriyani Muhamad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang baharu berkuat kuasa pada 28 Sept ini.

Pejabat Komunikasi Korporat UMT menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan beliau adalah berdasarkan pengalaman luas dalam bidang akademik dan pengurusan, serta kepakaran dalam bidang ekonomi yang dilihat mampu membawa perspektif kepimpinan menyeluruh dalam memperkukuh kedudukan UMT sebagai universiti yang memfokuskan bidang marin dan akuatik.

Menurut kenyataan itu, Suriyani pernah menjawat jawatan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) pada Jan 2025.

“Sepanjang menerajui portfolio berkenaan, beliau memberikan perhatian kepada pengukuhan ekosistem akademik universiti, termasuk pembangunan program pengajian yang responsif terhadap perubahan semasa, keperluan industri serta perkembangan pasaran pekerjaan.

“Agenda pengantarabangsaan turut menjadi fokus beliau menerusi perluasan program mobiliti yang memberi peluang kepada pelajar UMT memperoleh pengalaman akademik global, pendedahan rentas budaya serta membina jaringan dengan institusi dan komuniti antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan Pro Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital) UMT Prof Dr Noor Maizura Mohamad Noor dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) universiti itu berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Pengalaman luas yang dimiliki Noor Maizura dalam pengurusan akademik, jaringan industri dan masyarakat serta agenda pendigitalan universiti mampu memperkukuh kesinambungan pengurusan akademik, khususnya dalam pembangunan program akademik yang relevan serta berdaya saing.

“Gabungan kedua-dua tokoh ini diharap mampu memperkukuh barisan kepimpinan UMT dalam meneruskan agenda pembangunan universiti. Kepimpinan baharu akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik, meningkatkan impak penyelidikan dan inovasi, memperluas jaringan global serta memastikan kepakaran universiti terus memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement