KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama SME Corp Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding – MoU) di Bangunan Berlian ST pada Khamis 21 Mac 2024.

MoU ini bertujuan untuk memperluas dan meneruskan hubungan kerjasama antara kedua-dua belah pihak.

Antara bidang kerjasama yang dihasratkan dalam MoU ini merangkumi:

(a) pelaksanaan aktiviti bersama bagi program-program pembangunan yang melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS); dan
(b) pertukaran / perkongsian maklumat kepada pemegang taruh bagi memastikan polisi dan program-program yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara efektif.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Datuk Ir Ts Abdul Razib Dawood berkata, ST sebagai badan kawal selia sektor tenaga negara berharap supaya pemeteraian MoU ini akan dapat meningkatkan lagi kerjasama kedua-dua belah pihak terutamanya yang melibatkan program pembangunan PMKS, yang turut merangkumi program-program kesedaran kecekapan tenaga dan keselamatan elektrik dan gas berpaip di kalangan PMKS.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy, SME Corp Malaysia sebagai Agensi Penyelaras Pusat dalam pembangunan PMKS boleh membantu meningkatkan kesedaran mengenai program berkaitan kecekapan tenaga menerusi kementerian dan agensi yang terlibat.

Pengurusan Tenaga merupakan salah satu petunjuk asas dalam menilai amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan PMKS berdasarkan Panduan Pantas ESG untuk PMKS yang telah dilancarkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri pada 5 Februari 2024.

Dalam majlis ini, Suruhanjaya Tenaga telah diwakili oleh Abdul Razib manakala SME Corp Malaysia diwakili oleh Rizal.