PETALING JAYA: Seorang individu ditahan berhubung kes gangguan seksual melibatkan seorang wanita dalam media sosial pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata, suspek berusia 37 tahun yang merupakan lelaki warga tempatan itu kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

"Polis akan mendapatkan laporan penuh perubatan daripada pihak hospital dan kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dimajukan kepada Timbalan Pendakwaraya Negeri," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya sebelum ini telah menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan suspek.

"Suspek adalah pemilik akaun Instagram yang dikatakan telah mengganggu mangsa yang merupakan seorang jurugambar.

"Suspek dipercayai sering menggunakan akaun Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan mangsa dengan memberikan komen cinta dan menghantar pesanan lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan terhadap mangsa," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut membuat permohonan kepada SKMM untuk menyekat akaun-akaun milik suspek.

"Tindakan ini bagi menghentikan perbuatan dan perlakuan suspek terhadap mangsa," katanya.

14 Julai lalu, polis menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang wanita yang menerima gangguan secara seksual menerusi hantaran tular dimuat naik mangsa. -Sinar Harian