Seorang suspek kes pecah rumah di sini meninggal dunia awal hari ini akibat serangan jantung ketika ditahan polis.

Suspek dipercayai melakukan jenayah berkenaan di sebuah rumah di Taman Pulai Utama, Kangkar Pulai, kira-kira sejam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata lelaki berumur 40an itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di Balai Polis Kangkar Pulai kira-kira pukul 1.15 pagi.

"Terdahulu, polis telah menerima satu maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 12.01 malam mengenai kehadiran sebuah kereta Perodua Alza berwarna putih di hadapan sebuah rumah di taman berkenaan.

"Bertindak dari itu, polis pergi ke tempat kejadian untuk memeriksa kenderaan terbabit sebelum ternampak seorang lelaki meluru keluar dari rumah berkenaan dan melarikan diri," katanya kepada pemberita.

Noor Hashim berkata polis kemudian mengejar lelaki berkenaan sehingga ke sebatang jalan, kira-kira 500 meter dari rumah terbabit, sebelum beberapa orang awam yang berada di situ berjaya menahan lelaki tersebut yang cuba melarikan sebuah Iswara Aeroback milik orang awam.

Beliau berkata polis mendapati lelaki yang tidak berbaju dan hanya berseluar pendek itu sedang tercungap dan lemah ketika dikerumuni orang awam.

Katanya, lelaki itu didapati semakin lemah apabila tiba di Balai Polis Kangkar Pulai sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba.

Menurut Noor Hashim, polis kini sedang mengenalpasti identiti lelaki itu kerana dia didapati menggunakan kad pengenalan milik orang lain yang dilaporkan hilang pada 15 Jun lepas.

Siasatan terhadapnya turut sukar dilakukan kerana dia didapati sudah merosakkan ibu jarinya bagi menyukarkan identitinya dikesan pihak berkuasa, katanya.

"Lelaki terbabit pada sebelah siang juga dipercayai cuba melakukan pecah rumah di perumahan yang sama tetapi gagal kerana terserempak dengan tuan rumah berkenaan dan kereta Perodua Alza itu pula dipercayai kereta yang dicurinya di kawasan Johor Jaya, di sini, pada 5 Sept lepas," katanya.

Polis katanya merampas pelbagai barangan yang disyaki hasil pecah rumah di dalam kenderaan terbabit termasuk beg tangan mengandungi wang kertas mata wang China, serangkai kunci kereta, beberapa unit alat pemain DVD, enam kilogram sarang burung walit serta 10 karton rokok.

"Polis percaya terdapat seorang rakan lelaki berkenaan yang dipercayai turut terlibat bersama-sama dalam kejadian pecah rumah berkenaan. Sehubungan itu, polis sedang mengesan lelaki tersebut dan mana-mana orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis untuk siasatan lanjut," katanya.