BATU GAJAH: Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun di sebuah butik kecantikan di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, suspek melarikan wang tunai dan barang kemas milik penjaga premis bernilai RM7,000.

“Berdasarkan maklumat awal, suspek dipercayai mempunyai fizikal dengan ketinggian sederhana dan berbadan kurus.

"Semasa kejadian, suspek memakai baju lengan panjang warna kelabu, berseluar panjang warna hitam, bertopi keledar warna hitam dengan ‘visor’ gelap dan berkasut putih.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Pihak polis sedang berusaha mengesan suspek bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihak polis turut menyebarkan gambar suspek yang dirakam menerusi kamera litar tertutup yang terdapat di premis berhampiran. 

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Pegawai yang boleh dihubungi ialah Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Nurulhidayah Omar di talian 013-3976564 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di talian 05-3654322 / 05-3629050.