Lelaki warga Nigeria yang juga suspek utama dalam kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang dua minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Sepang di sini, sebentar tadi.

Tertuduh, Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 36, yang berbaju kemeja denim mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret A Akhiruddin @Boy Acho.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes melibatkan pertuduhan membunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

BACA: Siti Kharina dikelar, darah mengalir sampai ke pintu


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Siti Kharina Mohd Kamaruddin, 40, di Tower 1, Third Avenue Condominium, Cyberjaya antara jam 12.41 pagi 9 Mei 2019 hingga 2.30 petang 15 Mei 2019.

Dakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan memohon tarikh sebutan baharu untuk mendapatkan laporan kimia, bedah siasat, laporan kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan telefon bimbit.

Majistret kemudiannya menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.


Sementara itu, Bernama melaporkan, tertuduh yang berkemeja denim dan berseluar jean, kelihatan tenang ketika dibawa ke mahkamah, dilihat menggeleng kepala ketika ditanya sama ada dia sudah melantik peguam atau belum.

Sebelum ini, Alowonle direman seminggu bermula 17 Mei sebelum disambung untuk seminggu lagi pada 23 Mei.

Siti Kharina, 40 tahun, dilaporkan hilang sejak 8 Mei dan misteri kehilangannya terungkai apabila mayatnya ditemukan pemilik kondominium yang disewanya di Cyberjaya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala pada 15 Mei, lepas.

Susulan penemuan mayatnya, polis menahan seorang wanita warga Nigeria, seorang lelaki warga Pakistan dan tertuduh.

Di mahkamah yang sama, dua individu yang ditahan bersama tertuduh iaitu wanita warga Nigeria berumur 35 tahun dibebaskan dengan bon mahkamah RM13,000.

Sementara, lelaki warga Pakistan yang berumur 38 tahun dibebaskan dengan bon mahkamah RM11,000.

A Akhiruddin turut memerintahkan supaya pasport kedua-duanya diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.