KUALA BERANG: Pusat Konservasi Gajak Tasik Kenyir (KECV) dilanda fenomena kepala air sebanyak dua kali, berikutan hujan lebat sejak Isnin lepas.

Pengarah KECV Ang Ching Yang berkata kejadian pertama berlaku sekitar 1 tengah hari semalam, mengakibatkan beberapa kawasan di pusat itu termasuk kafeteria, surau dan tandas mengalami kerosakan.

Beliau berkata kejadian kedua pula berlaku kira-kira 9.30 pagi hari ini, mengakibatkan jambatan dilimpahi air sehingga menyukarkan pekerja menghantar makanan kepada gajah dan kawasan gajah mandi, turut terjejas.

"Dua hari sebelum kejadian (Isnin) pun saya tengok air sungai bewarna kuning dan bercampur lumpur serta gajah-gajah di sini juga telah memberikan isyarat bunyi. Kalau ikutkan pengalaman kami di sini kedua-dua keadaan itu menandakan bencana alam bakal berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Ang berkata kedua-dua kejadian itu tidak menjejaskan kesemua 17 ekor gajah di pusat berkenaan kerana telah dipindahkan ke lokasi selamat lebih awal, manakala pengunjung tidak berada di KECV kerana ditutup susulan cuaca buruk.

"Kos kerosakan memang kami belum kira tetapi hampir saban tahun tempat kami dilanda kepala air dan setiap tahun juga kos membersih dan membaiki kawasan serta kemudahan terjejas antara RM250,000 hingga RM300,000," katanya.

Beliau berkata KECV akan dibuka semula kepada pengunjung apabila kerja-kerja pembersihan serta pembaikan selesai dan cuaca kembali pulih.

-- BERNAMA