KUALA LUMPUR: Sweden berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia sejajar potensi pertumbuhan serta pakatan dalam amalan lestari bagi memacu inisiatif mampan selain memupuk peralihan yang lebih hijau atau mesra alam.

Duta Besar Sweden ke Malaysia, Dr Joachim Bergstrom berkata, syarikat Sweden di Malaysia kini aktif mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan tempatan bagi memacu agenda mampan dengan menumpukan sektor seperti pembuatan atau pengeluaran hijau, pengangkutan, mobiliti dan peralihan tenaga.

"Saya berpendapat kita akan menyaksikan potensi pertumbuhan bagi peningkatan perdagangan dalam aspek peralihan tenaga dengan syarikat yang berupaya membekalkan penyimpanan serta penghantaran seperti biobahan api dan tenaga daripada sisa.

"Malah, dalam banyak aspek, Sweden dan Malaysia berfikiran sama. Kedua-duanya adalah negara kecil dengan sejarah serta tradisi panjang dalam perdagangan selain bersifat berkecuali," katanya kepada Bernama.

Bergstrom juga menyifatkan penglibatan kedua-dua negara juga memberi fokus terhadap langkah membangunkan usaha bersama memerangi perubahan iklim dan menggalakkan amalan kelestarian.

"Ini termasuk 'Pioneer the Possible' yang berperanan sebagai platform bagi memudah cara kerjasama serta meningkatkan kesedaran mengenai matlamat mampan," katanya.

Mengulas selanjutnya, Pesuruhjaya Perdagangan Sweden ke Malaysia, Emma Broms berkata, platform yang dilancarkan pada 2023 itu menyasarkan untuk meningkatkan peralihan kepada tenaga hijau di Malaysia menerusi kerjasama antara syarikat-syarikat Sweden seperti Volvo Trucks dan Atlas Copco selain pihak berkepentingan tempatan.

"Kita telah memeterai memorandum persefahaman dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan Business Sweden selain bekerjasama dengan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), pihak berkepentingan lain di peringkat tempatan dan kementerian-kementerian berkaitan bagi program ini," katanya.

Broms turut mengetengahkan kewujudan lebih daripada 80 syarikat Sweden yang beroperasi di Malaysia dengan hampir 9,000 pekerja dan bekerjasama dengan rakan tempatan bagi meningkatkan akses terhadap tenaga hijau.

Beliau turut menekankan potensi Malaysia untuk muncul sebagai rakan penting dalam hubungan perdagangan dua hala dan pengukuhan ekonomi Asean-Kesatuan Eropah (EU).

"Pendigitalan merupakan salah satu bidang yang kita lihat banyak mencatat kemajuan bagi pembangunan masa depan. Ericsson sedang melaksanakan rangkaian teknologi 5G di Malaysia yang turut membuka jalan bagi syarikat lain menyediakan penyelesaian (berkaitan)," katanya.

Menyentuh aspek keselamatan siber, beliau berkata, Sweden boleh menawarkan banyak perkara dalam bidang itu yang semakin penting.

"Kita juga melihat banyak perkembangan dalam bidang penjagaan kesihatan berikutan terdapat banyak permintaan terhadap peranti perubatan serta penyelesaian kesihatan elektronik digital," katanya.

Selain itu, satu kemudahan pengeluaran baharu bagi kenderaan perlombongan berkuasa elektrik, sedang dibangunkan oleh syarikat Sweden, Sandvik di kawasan perniagaan Sendayan TechValley yang terletak berhampiran Seremban, Negeri Sembilan.

"Banyak kemajuan yang sedang dicatatkan, termasuk pelaburan Sweden ke Malaysia yang berjumlah sehingga setengah bilion dolar Amerika Syarikat. Malah, Malaysia adalah antara penerima pelaburan terbesar Sweden," katanya. - BERNAMA